Gus, fosil dinosaur termahal dalam sejarah

Gus, fosil dinosaur termahal dalam sejarah

RANGKA lengkap spesimen Tyrannosaurus rex dipamerkan semasa pratonton media di bangunan Sotheby's Breuer di New York.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah fosil Tyrannosaurus rex (T. rex) berusia 67 juta tahun dilelong pada harga AS$50.1 juta (RM204.2 juta) dalam bidaan Sotheby’s, sekali gus memecahkan rekod sebagai harga tertinggi yang pernah dibayar untuk sebahagian daripada hidupan purba dinosaur.

Menurut firma lelongan Sotheby’s, fosil pemangsa gerun itu berketinggian lebih empat meter dengan lebih 60 peratus daripada struktur tulangnya berjaya ditemui semula, menjadikannya antara spesimen T.rex paling lengkap pernah dijumpai.

Setakat ini, identiti pembida yang memenangi acara lelongan pada Selasa itu masih belum didedahkan kepada umum.

Dinosaur T.rex yang diberi nama timangan ‘Gus’ itu ditemukan pada 2021 di sebuah ladang terpencil di wilayah South Dakota, Amerika Syarikat (AS).

“Gus bukan sahaja satu penemuan yang luar biasa, malah ia merupakan spesimen yang telah diekskavasi, didokumentasikan, disediakan dan dijaga dengan tahap kualiti yang sangat tinggi,” kata Ketua Global Jabatan Sains dan Sejarah Semulajadi Sotheby’s, Cassandra Hatton.

Nilai jualan tersebut melepasi rekod dunia terdahulu dipegang fosil Stegosaurus dinamakan Apex pada 2024, selain menjadi fosil pertama yang melepasi tanda aras bernilai AS$50 juta (RM203 juta).

Beberapa ahli sains memaklumkan kepada agensi berita BBC, keputusan lelongan ini mungkin menandakan bermulanya era baharu dalam trend pengumpulan fosil oleh golongan jutawan dan ultra-kaya.

Pembeliannya turut menyerlahkan peningkatan mendadak pasaran rangka dinosaur yang turut mengundang kritikan daripada sebahagian ahli paleontologi kerana spesimen berkenaan akhirnya dimiliki pihak persendirian.

“AS ialah satu-satunya negara di dunia yang menganggap fosil seperti ini sebagai harta persendirian.

“Jika anda memiliki tanah itu, anda memiliki fosil tersebut dan berhak menjualnya. Jadi, jika sesiapa mahu memiliki dinosaur, inilah satu-satunya tempat di dunia yang membolehkannya,” kata Ketua Sains dan Sejarah Alam Sotheby’s, Cassandra Hatton, kepada AFP sebelum lelongan itu.

Proses penggalian tulang-tulang dinosaur itu dilakukan sepanjang tiga musim panas iaitu ketika suhu bumi cukup panas untuk mencairkan lapisan tanah beku bermula dari 2021 hingga 2023.

Bagaimanapun, pakar memerlukan tempoh tambahan selama tiga tahun lagi di dalam makmal bagi mencantumkan semula struktur rangka T. rex berkenaan secara terperinci.

Hasil kerja pemulihan tersebut mendedahkan bahagian tengkorak Gus mempunyai kesan gigitan, selain terdapat beberapa tulang rusuk yang pernah patah namun sudah sembuh sewaktu dinosaur itu masih hidup.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN