BEIJING: Beijing mengecam tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap China dan 59 negara lain pada Jumaat atas dakwaan berkaitan kebimbangan mengenai buruh paksa, selain memberi amaran kepada Washington supaya tidak mencetuskan perang perdagangan.
Tarif yang dikenakan oleh AS berada dalam julat 10 hingga 12.5 peratus dengan China dikenakan kadar tertinggi.
“Kami menentang semua bentuk langkah tarif unilateral,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, dalam satu sidang media pada Jumaat.
“Perang tarif dan perang perdagangan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” tambahnya yang memberi amaran kepada AS.
Tarif baharu itu menggantikan cukai import global sementara yang akan tamat tempoh, yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump awal tahun ini.
Pentadbiran Trump bergerak pantas untuk membina semula dasar perlindungan tarif presiden itu selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sejumlah besar tarif yang dikenakannya pada Februari lalu, satu tamparan terhadap keupayaannya mengenakan tarif tinggi sesuka hati.
Ketika mengumumkan tarif tersebut, Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer berkata, Washington sedang menguatkuasakan larangan import berkaitan buruh paksa secara tegas.
“Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama,” katanya.
Negara-negara yang telah melaksanakan larangan terhadap import berkaitan buruh paksa termasuk Kanada, Kesatuan Eropah dan United Kingdom dikenakan kadar lebih rendah iaitu 10 peratus.
Rakan dagang utama lain termasuk India dan Jepun pula dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.
China dan AS menghabiskan sebahagian besar tahun lalu dalam konflik perdagangan antara kedua-dua negara.
Selepas Trump melawat Beijing tahun ini, China berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan AS untuk mengurangkan tarif.
Namun, pengenaan tarif terbaharu ini mengancam untuk mencetuskan semula ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara. – AFP










