Catuan petrol di Russia akibat perang Ukraine - Utusan Malaysia

Catuan petrol di Russia akibat perang Ukraine

CATUAN petrol dilaksanakan akibat perang Ukraine di Russia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Bandar Vologda di Russia kini berdepan kekura­ngan bekalan bahan api apabila serangan Ukraine  semakin me­ningkat ke atas depoh simpanan minyak negara itu mengganggu kehidupan harian pada tahap yang tidak pernah berlaku sejak konflik bermula pada 2022.

Moscow cuba meredakan kebimbangan dengan menyatakan krisis itu tidak berada pada tahap kritikal tetapi Presiden Vladimir Putin menuduh Ukraine cuba memecah-belahkan rakyat Russia dan mencetuskan panik dalam kalangan rakyatnya.

Sejak Jun, lebih 90 peratus wilayah di Russia mengalami catuan atau kekurangan bekalan bahan api, menurut pengiraan AFP berdasarkan laporan media dan kenyataan rasmi.

Beberapa stesen minyak di Vologda ditutup, manakala ste­sen lain  kebanyakannya milik syarikat minyak utama Russia dipenuhi kenderaan yang ber­atur panjang.

Namun, sejak beberapa ming­gu lalu, beratur panjang untuk mendapatkan petrol menjadi rutin harian ketika konflik di Ukraine berlarutan, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di stesen minyak.

“Keadaan ini memang teruk,” kata Yelena dengan nada marah ketika beliau dan pasangannya menunggu di dalam kereta di Vologda.

“Sekarang kami hanya me­nunggu. Kita lihat sama ada masih ada petrol yang tinggal,” tambahnya.

Bagi menangani krisis itu, Moscow pada mulanya mengharamkan eksport beberapa gred petrol dan bahan api pe­nerbangan. 

Minggu lalu, larangan itu diperluaskan kepada eksport diesel. Kerajaan juga melaksanakan sistem catuan bahan api.

Menurut pemandu dan pe­merhatian AFP, beberapa langkah itu mula menunjukkan kesan di Moscow dan beberapa wilayah lain sejak kebelakangan ini.

Barisan di stesen minyak semakin pendek di Moscow.

Pihak berkuasa wilayah Vologda tidak memberikan maklum balas terhadap perminta­an AFP untuk mendapatkan komen.

Bagaimanapun, kekurangan bekalan itu memperlihatkan sejauh mana serangan Ukraine mampu menjejaskan sektor minyak Russia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN