KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kelmarin memecat Panglima Angkatan Tentera Ukraine, Oleksandr Syrsky susulan krisis politik yang tercetus selepas penyingkiran Menteri Pertahanan, Mykhailo Fedorov.
Zelensky dalam satu hantaran di Telegram mengumumkan pelantikan Komander Pasukan Bersama, Mykhailo Drapaty sebagai panglima baharu menggantikan Syrsky.
Syrsky, 60, yang menerima latihan ketenteraan era Soviet, memegang jawatan itu sejak 2024 dan dianggap antara komander paling berpengalaman Ukraine.
Beliau sebelum ini mengetuai operasi mempertahankan Kyiv pada peringkat awal pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Pemecatan beliau dibuat selepas beberapa hari protes yang diadakan bagi menyokong Fedorov, yang mendakwa Syrsky memaksanya meletakkan jawatan selain menghalang usaha melaksanakan reformasi dalam angkatan tentera.
“Saya telah memutuskan Panglima Baharu Angkatan Tentera Ukraine ialah Mykhailo Drapaty.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Oleksandr Syrsky dan setiap anggota angkatan tentera atas sumbangan mereka mempertahankan kedudukan barisan hadapan Ukraine,” kata Zelensky.
Persoalan mengenai kedudukan Syrsky mula timbul minggu lalu selepas Zelensky memecat Fedorov, hanya enam bulan selepas melantiknya ke jawatan itu.
Fedorov, 35, yang dikenali menerusi usaha memodenkan angkatan tentera, mendakwa Syrsky menghalang cadangan pembaharuannya.
Selain itu, beliau juga dikatakan memberi tekanan kepada Zelensky supaya menyingkirkannya. Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Syrsky.
Pertikaian berkenaan mendedahkan perbezaan pendapat yang jarang berlaku dalam kalangan kepimpinan tentera dan politik Ukraine ketika Kyiv dilihat berada pada kedudukan paling kukuh dalam perang itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pasukan Ukraine berjaya memperlahankan kemaraan tentera Russia sejak beberapa bulan lalu.
Serangan jarak jauhnya turut menyasarkan loji penapisan minyak Russia yang menurut Kyiv menjadi sumber bekalan bagi menyokong pencerobohan Moscow. – AFP










