AS serang Iran selepas kapal komersial ditembak - Utusan Malaysia

AS serang Iran selepas kapal komersial ditembak

BOT-bot nelayan dilihat dijilat api selepas AS melakukan serangan di Jeti Banud, wilayah Bushehr di selatan Iran pada 9 Julai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan serangan udara baharu ke atas Iran pada Sabtu selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyerang sebuah kapal komersial yang sedang melalui Selat Hormuz, menurut kenyataan tentera AS.

Markas  Pusat AS (CENTCOM) berkata, kapal kontena M/V GFS Galaxy, yang belayar di bawah bendera Cyprus, tidak dapat meneruskan pelayarannya selepas serangan Iran menyebabkan kebakaran di atas kapal dan kerosakan besar pada bilik enjinnya. 

CENTCOM turut memaklumkan seorang anak kapal awam dilaporkan hilang.

“Sebagai tindak balas, Amerika melakukan tindakan balas yang berat dengan terus melemahkan keupayaan Iran untuk menyerang pelaut awam dan kapal-kapal komersial yang melalui selat itu secara bebas,” kata CENTCOM dalam satu hantaran di media sosial.

“Iran telah membuat pilihan yang buruk. Kini mereka perlu menanggung akibatnya,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menerusi hantaran di platform X.

Serangan udara pada Sabtu itu merupakan kali ketiga AS mengebom Iran minggu ini sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.

Iran telah menyerang kapal-kapal yang menggunakan laluan selatan di sepanjang pantai Oman yang dilindungi oleh tentera AS.

Teheran menuntut supaya kapal-kapal menggunakan laluan utara yang melalui perairan wilayahnya.

AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 17 Jun untuk membuka semula Selat Hormuz. Bagaimanapun, Washington dan Teheran kini berselisih mengenai syarat-syarat pembukaan semula laluan perairan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN