WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan baharu terhadap Iran pada awal pagi Selasa, sekali gus menandakan peningkatan baharu dalam konflik yang kembali tercetus, walaupun Presiden Donald Trump berkata, perjanjian dengan Teheran masih boleh dicapai.
“Kita akan menyerang mereka dengan sangat kuat malam ini, dan kita akan menyerang mereka dengan kuat lagi esok,” kata Trump kepada hos radio konservatif, Hugh Hewitt, pada Isnin.
Harga minyak melonjak lebih sembilan peratus susulan kebimbangan terhadap konflik yang kembali memuncak.
Markas Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan serangan bermula pada pukul 8.45 malam GMT, menjadikannya malam ketiga berturut-turut operasi ketenteraan dilancarkan.
“Serangan ini akan terus mengenakan kos yang tinggi kepada tentera Iran dan melemahkan keupayaan mereka untuk menyerang orang awam yang tidak bersalah dan perkapalan komersial di Selat Hormuz,” menurut CENTCOM.
Rumah Putih mengesahkan kepada AFP bahawa Trump secara rasmi telah memaklumkan Kongres minggu lalu mengenai penyambungan semula operasi ketenteraan AS terhadap Iran, sekali gus memberikan Pentagon tambahan 60 hari untuk beroperasi di rantau itu tanpa memerlukan kelulusan Kongres.
Trump turut mengancam untuk memusnahkan Pickaxe Mountain, sebuah tapak nuklear yang dibina jauh di bawah tanah berhampiran Natanz, yang menurut risikan Barat dipercayai digunakan Iran untuk membina kemudahan pengayaan uranium yang tidak diisytiharkan. – AFP










