Apple rampas semula takhta syarikat terbesar dunia - Utusan Malaysia

Apple rampas semula takhta syarikat terbesar dunia

Logo gergasi teknologi Apple. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Gergasi teknologi Apple kembali merampas takhtanya sebagai syarikat terbesar di dunia selepas berjaya menyingkirkan Nvidia, susulan kejatuhan berterusan saham-saham yang dikaitkan dengan ledakan kecerdasan buatan (AI) pada awal Jumaat.

Ketika indeks syarikat semikonduktor utama dilaporkan merosot, saham pengeluar iPhone itu sebaliknya meningkat ke paras rekod tertinggi mencecah AS$337 (RM1,380) pada sesi awal dagangan di New York.

Lonjakan itu sekali gus meletakkan nilai pasaran Apple pada angka AS$4.9 trilion (RM20.07 trilion). 

Dalam masa yang sama, saham syarikat pengeluar cip Nvidia menyusut hampir lima peratus ke paras bawah AS$200 (RM819) sesaham, menjadikan nilai pasarannya turun kepada AS$4.8 trilion (RM19.66 trilion).

Kedua-dua gergasi teknologi itu terus bersaing sengit sepanjang hari dagangan apabila Nvidia kembali merapatkan jurang kerugian yang dialaminya.

Ketidakstabilan pasaran itu berlaku ketika para pelabur mula menilai semula prospek masa depan sektor AI, susulan lonjakan luar biasa yang dicatatkan oleh saham-saham firma semikonduktor terkemuka dunia sebelum ini.

Nvidia sebelum ini bergelar syarikat terbesar di dunia pada Mei tahun lalu selepas para pelabur melabur secara besar-besaran dalam firma yang memacu revolusi AI, termasuk pengeluar cip.

Malah pada Oktober lalu, Nvidia melakar sejarah sebagai perniagaan pertama di dunia yang mencecah nilai pasaran AS$5 trilion (RM20.4 trilion). 

Bagaimanapun, selepas meraih keuntungan luar biasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelabur kini bimbang aliran peningkatan itu mungkin sudah berlebihan, sekali gus mula memindahkan dana mereka keluar daripada saham cip dan syarikat pembiaya besar AI.

Nvidia turut berdepan tamparan hebat selepas kemunculan model AI baharu dari China yang dilihat sebagai ancaman besar kepada produk keluaran OpenAI dan Anthropic. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN