BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 20 anggota Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) Iraq terbunuh, manakala 32 lagi cedera dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi yang menyasarkan kedudukan kumpulan itu di tujuh wilayah.
PMF berkata, angka korban itu masih bersifat awal dan dijangka meningkat berikutan penilaian di lapangan masih diteruskan.
Menurut kenyataan PMF, serangan itu menyasarkan kedudukan mereka di wilayah Baghdad, Wasit, Nineveh, Basra, Kirkuk, Karbala dan Diyala, menyebabkan kerosakan pada pelbagai tahap terhadap bangunan, kenderaan serta kelengkapan ketenteraan.
Washington dan Riyadh memaklumkan melancarkan serangan terhadap kumpulan yang disokong Iran di Iraq sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas anggota tentera AS serta kemudahan minyak Arab Saudi.
“Serangan ini mengakibatkan beberapa anggota syahid dan yang lain cedera, selain menyebabkan kerosakan material terhadap beberapa bangunan serta harta benda.
“Sekurang-kurangnya 10 anggota terkorban di Nineveh. Angka korban dijangka meningkat,” jelas kenyataan PMF yang turut dikenali sebagai Hashed al-Shaabi dalam bahasa Arab.
PMF ialah gabungan kumpulan separa tentera dan pelbagai fraksi yang ditubuhkan pada 2014 bagi memerangi kumpulan jihad, dan kini telah diserapkan ke dalam angkatan tentera Iraq.
Beberapa kumpulan yang disokong Iran mempunyai briged yang beroperasi di bawah PMF, namun kebanyakannya dikenali kerana bertindak secara sendiri.
Dalam kenyataannya pada Rabu, PMF menyifatkan serangan AS-Arab Saudi itu sebagai peningkatan berbahaya, pencabulan kedaulatan Iraq dan serangan terhadap institusi keselamatan rasmi negara.
Serangan itu berlaku selepas Riyadh memaklumkan tenteranya berjaya memintas dron yang menyasarkan kemudahan minyak di timur Arab Saudi, sambil menuduh kumpulan disokong Iran di Iraq sebagai dalang.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan menolak tuduhan itu sebagai rekaan dan memberi amaran kepada Arab Saudi supaya tidak menyerang Iraq.-AFP










