UK siasat caj 'tempat duduk keluarga' Ryanair

UK siasat caj ‘tempat duduk keluarga’ Ryanair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengawal selia persaingan Britain memaklumkan membuka siasatan terhadap syarikat penerbangan Ireland, Ryanair berhubung caj yang dikenakan ke atas ibu bapa untuk duduk bersama anak-anak mereka dalam penerbangan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu mewajibkan sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa duduk bersama kanak-kanak berusia antara dua hingga 11 tahun semasa penerbangan, namun syarat itu memerlukan mereka membayar caj bagi apa yang digelar sebagai ‘tempat duduk keluarga wajib’.

Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran United Kingdom (CMA) sedang menyiasat sama ada caj tersebut, yang lazimnya sekitar 8 pound (RM43.52) bagi setiap penerbangan, adalah tidak adil di bawah undang-undang pengguna.

Bagi penumpang lain, tempahan tempat duduk adalah pilihan dan tidak diwajibkan.

CMA berkata, pihaknya akan menentukan sama ada yuran tempahan tempat duduk Ryanair menyebabkan ibu bapa dikenakan bayaran untuk memenuhi tanggungjawab berkaitan keselamatan kanak-kanak dan keperluan orang kurang upaya seperti yang ditetapkan di bawah peraturan penerbangan.

“CMA memahami Ryanair merupakan satu-satunya syarikat penerbangan utama yang beroperasi dari UK yang mengenakan caj sedemikian,” menurut agensi itu.

CMA turut menyatakan Ryanair tidak mengenakan bayaran tersebut bagi penerbangan menuju dan dari Itali susulan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa penerbangan awam negara itu.

Sebagai reaksi, Ryanair menegaskan dasar tempat duduk keluarganya mematuhi sepenuhnya semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

“Orang dewasa yang melancong bersama kanak-kanak hanya membayar satu yuran tempahan tempat duduk, tetapi boleh memilih tempat duduk bersebelahan untuk sehingga empat kanak-kanak dalam tempahan yang sama tanpa caj tambahan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ryanair turut berkata, pihaknya menantikan peluang untuk menolak dakwaan CMA yang disifatkannya sebagai tidak berasas dalam siasatan tersebut.

CMA memaklumkan pihaknya dijangka memberikan perkembangan terkini mengenai siasatan itu dalam tempoh enam bulan.

Pelanggaran undang-undang perlindungan pengguna boleh membawa kepada denda sehingga 10 peratus daripada pendapatan global sesebuah syarikat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN