UAE larang kanak-kanak bawah 15 tahun guna media sosial - Utusan Malaysia

UAE larang kanak-kanak bawah 15 tahun guna media sosial

GAMBAR fail logo platform media sosial di skrin telefon bimbit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI:  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis mengumumkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berumur bawah 15 tahun, sekali gus menyertai semakin banyak negara termasuk Australia, United Kingdom (UK) dan Canada yang mengambil langkah serupa.

Platform media sosial diwajibkan memantau dan menyahaktifkan akaun yang diwujudkan oleh individu berusia bawah 15 tahun atau berdepan risiko disekat, menurut resolusi Kabinet yang turut memberikan tempoh peralihan selama 12 bulan kepada syarikat-syarikat terbabit.

“Resolusi itu menetapkan umur minimum untuk menggunakan media sosial ialah 15 tahun,” lapor agensi berita rasmi WAM yang memetik resolusi Kabinet tersebut.

“Kanak-kanak di bawah umur ini dilarang daripada mencipta, menggunakan atau mengendalikan akaun peribadi di platform media sosial,” tambahnya.

Mereka juga dilarang daripada mengakses fungsi penuh platform tersebut, termasuk interaksi sosial, penerbitan kandungan, memberi komen, berkongsi, menyertai kumpulan awam, saluran terbuka atau mana-mana ruang interaktif berskala besar, menurut laporan itu.

Selepas Australia melaksanakan larangan media sosial pertama di dunia bagi mereka yang berumur bawah 16 tahun pada Disember tahun  lalu, beberapa negara lain turut mengikut jejak langkah tersebut termasuk Britain yang mengumumkan larangan serupa minggu ini.

Badan pengawal media dan telekomunikasi UAE mempunyai kuasa untuk mengambil semua langkah yang perlu terhadap platform media sosial sekiranya berlaku ketidakpatuhan, kata WAM.

Langkah-langkah itu termasuk memberikan amaran, menyekat platform secara sebahagian atau sepenuhnya, atau mengenakan penalti pentadbiran yang berkaitan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN