WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran bersetuju sepenuhnya untuk membenarkan pemeriksa nuklear kembali ke negara itu, selain mengumumkan tentera laut Washington tidak lagi akan melaksanakan sekatan di Selat Hormuz.
Washington dan Iran kini sedang berunding mengenai beberapa isu penting, termasuk masa depan program nuklear republik Islam itu, susulan perjanjian yang dimeterai kedua-dua musuh lama tersebut bagi menamatkan perang di Asia Barat.
Trump berkata, rundingan berkenaan yang melibatkan perbincangan teknikal antara Iran dan AS di Switzerland sejak beberapa hari lalu sedang berlangsung dengan baik.
“Iran telah bersetuju sepenuhnya dan secara menyeluruh untuk menerima pemeriksaan nuklear pada tahap tertinggi bagi tempoh yang sangat panjang (selama-lamanya!!!). Ini akan menjamin ‘Kejujuran Nuklear’.
“Berdasarkan perkara ini dan beberapa lagi konsesi besar yang dibuat oleh Iran, saya telah bersetuju untuk membenarkan Selat Hormuz kekal TERBUKA, tanpa sebarang sekatan laut lanjut.
“Bagaimanapun, semua kapal masih kekal di kedudukan masing-masing sekiranya perlu melaksanakan semula sekatan tersebut, walaupun pada ketika ini perkara itu kelihatan sangat tidak mungkin,” tulis Trump di platform media sosialnya.
Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas dunia, menjadi antara isu utama sepanjang konflik yang telah menggugat ekonomi global.
Walaupun rundingan mengenai Selat Hormuz merupakan komponen penting, isu nuklear yang lebih luas terus menjadi tumpuan.
Dakwaan Trump bahawa Iran telah sepenuhnya bersetuju dengan pemeriksaan nuklear dilihat selari dengan beberapa kenyataan terkini dari Teheran.
Namun, tidak lama sebelum hantaran Trump itu, Iran menyatakan bahawa badan pemantau nuklear Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak akan dapat memeriksa beberapa tapak nuklear utama yang dibom oleh tentera AS dan Israel tahun lalu.
Kemudian pada hari yang sama, Trump memberitahu wartawan bahawa pemeriksa IAEA akan berada di lapangan pada masa yang sesuai dan membayangkan bahawa Teheran tersilap apabila menyatakan tiada lawatan pemeriksaan dijadualkan.
“Jika mereka betul, saya akan membatalkan rundingan ini sekarang juga,” kata Trump sambil menegaskan beliau 100 peratus yakin pemeriksaan tersebut akan diteruskan.-AFP










