ISLAMABAD: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, tanpa peluru berpandu yang dimiliki negaranya, Iran akan menjadi seperti Gaza, sambil menegaskan program senjata balistik negara itu tidak boleh dirundingkan.
Beliau membuat kenyataan tersebut ketika melakukan lawatan ke Pakistan, yang menjadi pengantara penting dalam rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bagi mencari penyelesaian kekal kepada perang di Asia Barat.
“Jika peluru berpandu yang kami miliki untuk pertahanan tidak wujud, Israel dan AS pasti telah menghancurkan Iran seperti Gaza, tanpa belas kasihan terhadap golongan tua mahupun kanak-kanak.
“Kami tidak akan berunding dengan sesiapa, dalam apa jua keadaan sekalipun, mengenai keupayaan pertahanan kami,” tambah beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengesahkan perjanjian awal yang ditandatangani oleh AS dan Iran bersama pihak-pihak pengantara tidak menyentuh soal peluru berpandu balistik.
“Tidak boleh wujud dua standard, sesetengah negara dibenarkan memiliki peluru berpandu balistik, tetapi Iran tidak. Kita tidak boleh menerima sikap hipokrasi seperti ini,” kata Shehbaz.
Teheran melancarkan ratusan peluru berpandu dan ribuan dron ke arah negara-negara Teluk serta Israel sepanjang perang yang tercetus susulan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran.
Program peluru berpandu Iran pada asalnya dibangunkan bagi mengimbangi kelemahan sistem pertahanan udaranya semasa perang dengan Iraq pada era 1980-an, dan sejak itu keupayaannya terus dipertingkatkan dari segi jarak serta ketepatan sasaran.
Israel, yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari Iran, sejak sekian lama melihat program tersebut sebagai ancaman terhadap kelangsungan negaranya.
Sebelum tercetusnya perang, AS berusaha memasukkan isu program peluru berpandu balistik Iran serta sokongan Teheran terhadap kumpulan proksi bersenjata dalam rundingan berkaitan aktiviti nuklear negara itu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Presiden AS, Donald Trum, dilihat melonggarkan pendiriannya berhubung isu peluru berpandu.
“Saya cuma mengatakan bahawa jika negara lain memilikinya, agak tidak adil untuk menghalang mereka daripada mempunyai sebahagiannya,” kata Trump minggu lalu pada sidang kemuncak Sidang Kemuncak G7 di Perancis.-AFP










