NEW YORK: Gergasi aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX berjaya memintas kedudukan Amazon untuk muncul sebagai syarikat kelima paling bernilai di dunia selepas mencatatkan lonjakan drastik dalam harga sahamnya.
Hanya beberapa hari selepas disenaraikan di bursa saham Nasdaq New York menerusi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah, harga saham syarikat roket tersebut melonjak melebihi 50 peratus.
Lonjakan luar biasa itu meletakkan nilai pasaran SpaceX kini mencecah sekitar AS$2.78 trilion (RM11.3 trilion), sekali gus mengetepikan empayar peruncitan dalam talian dan media milik Jeff Bezos, Amazon yang kini bernilai kira-kira AS$2.66 trilion (RM10.82 trilion).
Pertumbuhan mendadak nilai SpaceX ini dipacu oleh pengumuman pengambilalihan syarikat pemula pengekodan kecerdasan buatan (AI), Cursor pada nilai AS$60 bilion (RM244.1 bilion).
SpaceX mengesahkan akan mengambil alih Anysphere, iaitu syarikat induk Cursor yang membangunkan ejen pengekodan AI berkenaan.
“Penyenaraian sulung ini berjaya meraih dana sebanyak AS$85.7 bilion (RM348.6 bilion) sekali gus menobatkan Elon Musk sebagai jutawan trilion pertama di dunia.
Sejak mula dijual kepada umum pada harga AS$135 (RM549.24) sesaham pada Jumaat lalu, nilainya kini melonjak ke paras AS$209 (RM850.28),” lapor penganalisis pasaran.
Langkah korporat tersebut mencetuskan keterujaan besar dalam kalangan pelabur yang tertarik dengan visi SpaceX untuk menghantar pusat data AI ke angkasa lepas, selain misi jangka panjangnya membantu manusia membina koloni di Marikh.
Bagaimanapun, beberapa penganalisis mula mempersoalkan keupayaan SpaceX untuk mengekalkan keunggulan harga saham setinggi itu, memandangkan wujud ketidaktentuan yang besar terhadap unjuran pendapatan masa hadapannya.
Meskipun nilai pasaran SpaceX kini mengatasi Amazon, profil kewangan sebenar membabitkan perolehan dan keuntungan kedua-dua syarikat ini nyata mempamerkan jurang yang amat ketara.
Berbeza dengan Amazon yang merekodkan keuntungan bersih AS$30.3 bilion (RM123.2 bilion) bagi suku pertama 2026, SpaceX yang lebih berpaksikan teknologi masa hadapan pula dilaporkan mengalami kerugian sebanyak AS$4.3 bilion (RM17.4 bilion) bagi tempoh sama. -AGENSI










