Sekutu PM UK enggan lawan Burnham jadi Ketua Parti Buruh - Utusan Malaysia

Sekutu PM UK enggan lawan Burnham jadi Ketua Parti Buruh

DARREN JONES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ahli politik veteran Parti Buruh, Andy Burnham semakin hampir untuk menjadi Perdana Menteri Britain baharu.

Ini kerana  seorang menteri kerajaan pada Rabu menolak kemungkinan me­lawan Burnham bagi menggantikan Perdana Menteri Keir Starmer yang bakal berundur bulan depan.

Darren Jones, sekutu rapat Starmer, sebelum ini disebut-sebut oleh beberapa ahli Parlimen sebagai calon berpotensi untuk merebut jawatan tertinggi kerajaan. Bagaimanapun, Jones yang dilihat lebih cenderung ke arah kanan dalam parti berhaluan tengah kiri itu memberitahu Sky News, bertan­ding bukan sesuatu yang akan beliau lakukan.

Keputusan itu menghapuskan satu lagi halangan dalam laluan pantas Burnham menjadi perdana menteri selepas beliau yang me­rupakan bekas Datuk Bandar Greater Manchester menang  dalam pilihan raya kecil parlimen minggu lalu.

Pencalonan bagi jawatan pemimpin Parti Buruh akan dibuka pada 9 Julai dan ditutup pada 16 Julai, bermakna Burnham, 56, boleh menjadi perdana menteri seawal keesokan harinya jika tidak berdepan sebarang pencabar.

Pada Isnin, Starmer yang menjadi perdana menteri pada 2024 mengumumkan akan meletakkan jawatan selepas menerima tekanan hebat daripada ahli parlimen daripada partinya dan  pentadbirannya dibelenggu pelbagai kesilapan, perubahan dasar, skandal serta  peletakan jawatan menteri. 

Kewibawaan Starmer semakin merosot sejak parti Buruh mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya tempatan dan wilayah pada Mei lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×