Polis tumpas sindiket curi kucing, 400 ekor diselamatkan daripada jadi 'hidangan'

Polis tumpas sindiket curi kucing, 400 ekor diselamatkan daripada jadi ‘hidangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HO CHI MINH CITY: Pihak berkuasa Vietnam berjaya menyelamatkan lebih 400 ekor kucing yang menjadi sasaran untuk disembelih bagi tujuan penggunaan domestik selepas sebuah sindiket jenayah mencuri haiwan peliharaan itu berjaya ditumpaskan.

Menurut laporan akhbar rasmi polis Ho Chi Minh City, seramai sembilan individu ditahan dalam serbuan berasingan di Wilayah Tay Ninh dan Ho Chi Minh City minggu lalu.

Kumpulan tersebut disifatkan pihak berkuasa sebagai kumpulan jenayah yang pakar dalam mencuri dan mengumpul kucing.

Dalam operasi berkenaan, pihak polis berjaya menemui lebih 400 ekor kucing yang masih hidup serta kira-kira 80 bangkai kucing yang disejukbekukan di dalam ais.

Selain itu, sebanyak 21 ekor kucing lagi disita di sebuah fasiliti berasingan.

Meskipun aktiviti memakan daging anjing dan kucing adalah sah di sisi undang-undang Vietnam, namun setiap peniaga diwajibkan mempunyai permit sah yang membuktikan sumber asal-usul haiwan tersebut.

“Suspek mengaku telah memerangkap dan mengumpul kucing di seluruh selatan Vietnam sejak tiga tahun lalu.

“Mereka dipercayai mengangkut kucing-kucing curi ini ke pusat pengumpulan sebelum menjualnya kepada pedagang setiap dua hingga tiga hari,” jelas jurucakap penyiasat.

Pertubuhan kebajikan haiwan, Humane World for Animals mengesahkan sekitar 40 ekor daripada kucing yang diselamatkan itu telah pun disatukan semula dengan pemilik asal mereka.

Pihak pertubuhan memuji tindakan tegas pihak berkuasa tempatan yang berjaya menyelamatkan ratusan nyawa haiwan terbabit, namun mendukacitakan apabila beberapa ekor kucing dilaporkan mati kemudiannya akibat trauma dan kecederaan yang dialami sepanjang tempoh hantaran kurungan.

Sementara siasatan lanjut masih dijalankan, pihak polis menyeru mana-mana penduduk tempatan yang kehilangan haiwan peliharaan mereka untuk tampil bagi membantu proses pengecaman.

Berdasarkan data daripada Humane World for Animals, dianggarkan sekitar lima juta anjing dan sejuta kucing ditangkap, dicuri, diseludup dan disembelih untuk pasaran daging di Vietnam pada setiap tahun.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×