PM Britain umum larangan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun

PM Britain umum larangan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri, Keir Starmer mengumumkan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun akan dilarang menggunakan media sosial di United Kingdom (UK), menegaskan platform tersebut menjadikan golongan muda semakin tidak gembira.

Beberapa badan kebajikan kanak-kanak menyambut baik perubahan besar itu, yang dijangka mencetuskan pertikaian dengan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS).

Namun, pihak lain memberi amaran langkah tersebut mungkin menyebabkan remaja menjadi kurang selamat ketika berada dalam talian.

Starmer, yang dijangka berdepan cabaran kepimpinan dalam beberapa minggu akan datang berkata, platform media sosial mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan yang berbahaya dan direka untuk menyebabkan ketagihan.

Kerajaan Britain berkata, larangan itu akan melibatkan platform seperti Snapchat, TikTok, YouTube, Instagram, Facebook dan X, tetapi tidak merangkumi perkhidmatan pemesejan seperti WhatsApp.

Menurut Starmer, keputusan untuk melaksanakan larangan itu dipengaruhi oleh pengalaman Australia, yang pada Disember lalu menjadi negara pertama melarang individu berusia bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial.

Beliau memaklumkan dalam sidang media di Downing Street, kerajaan berharap dapat meluluskan peraturan berkenaan menjelang akhir Disember ini dan melaksanakannya mulai musim bunga tahun depan.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan aplikasi seperti YouTube Kids, Lego Play dan Google Classroom tidak akan terjejas oleh larangan tersebut.

Dalam satu kenyataan, kerajaan turut memaklumkan ia sedang mempertimbangkan pelaksanaan sekatan penggunaan media sosial pada waktu malam serta mekanisme menghentikan ciri ‘infinite scrolling’ bagi pengguna bawah umur.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah itu dijangka diumumkan pada Julai.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyambut baik langkah Britain itu menerusi hantaran di platform X.

“Gergasi media sosial beroperasi merentasi sempadan negara. Dengan berdiri bersama, kita boleh melakukan lebih banyak usaha untuk memastikan mereka bertanggungjawab dan melindungi kanak-kanak dalam talian,” katanya.

Kanada dan Perancis merupakan antara negara lain yang sedang mempertimbangkan larangan serupa, manakala Indonesia mula menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun pada Mac lalu.

Larangan yang dicadangkan Britain itu berpotensi menimbulkan ketegangan dengan Presiden AS, Donald Trump selepas Kedutaan AS di London awal bulan ini menyatakan bantahan terhadap larangan media sosial secara menyeluruh.

Pengumuman Starmer dibuat susulan satu konsultasi yang dikendalikan kerajaan Britain, di mana remaja negara itu mencuba pelaksanaan larangan media sosial serta had masa penggunaan aplikasi sebelum dasar tersebut dipertimbangkan. — AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN