BEIJING: Seorang juruterbang maut selepas pesawat ringan merempuh bangunan tertinggi di Beijing, manakala 13 lagi cedera, menurut pihak berkuasa China pada Sabtu, tanpa menjelaskan punca kejadian yang jarang berlaku itu.
Saksi kejadian nahas pada Jumaat melaporkan serpihan pesawat ditemui di kaki bangunan setinggi 528 meter iaitu Menara CITIC. Wartawan AFP di lokasi melihat terdapat lubang pada tingkap di salah satu tingkat atas bangunan itu.
“Satu-satunya individu di dalam pesawat ialah juruterbang, yang maut, manakala 13 orang lagi cedera di lokasi kejadian,” menurut kenyataan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tersebut.
Rakaman dramatik yang tular di media sosial memaparkan sisa runtuhan jatuh dari menara setinggi 109 tingkat itu, selain menunjukkan bahagian ekor pesawat dan cermin sebuah teksi pecah di atas jalan raya.
Beberapa keping foto turut memaparkan dua tingkap pecah di bahagian tepi bangunan berkenaan yang terletak di daerah perniagaan sibuk.
Ratusan orang dilihat bergegas keluar menyelamatkan diri dari bangunan pencakar langit itu. Ia berlaku ketika jentera bomba, puluhan kereta polis dan ambulans mula tiba di lokasi kejadian.
Imej yang memaparkan kod pendaftaran pesawat itu memberi petunjuk bahawa ia merupakan sebuah pesawat ringan buatan tempatan jenis Sunward SA 60L Aurora yang dimiliki oleh sebuah syarikat penerbangan awam tempatan. – AFP/AGENSI











