BEIRUT: Di sebuah pusat perlindungan di Sidon, bandar terbesar di selatan Lubnan, penduduk yang dipindahkan mengakui mereka kini sangat takut untuk pulang ke rumah.
“Mustahil untuk kami pulang ke rumah kerana bandar itu mengalami kemusnahan besar,” kata seorang penduduk, Zeinab Fakih dari Nabatieh.
Zeinab turut sambil menambah ketibaan tentera Israel di istana zaman pertengahan Beaufort di wilayah Lubnan adalah sesuatu yang ‘tragik’.
Kemaraan ke Beaufort berlaku ketika tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan besar-besaran bagi kawasan di selatan Sungai Zahrani, utara Sungai Litani dan sekitar 40 kilometer dari sempadan.
Satu serangan Israel berhampiran sebuah hospital di Tyre mencederakan 13 kakitangan, menurut kementerian kesihatan Lubnan.
Beberapa ribu penduduk masih berada di bandar lama Tyre yang kecil, yang tidak termasuk dalam amaran pemindahan Israel, dengan sebahagian daripada mereka tidur di dalam kereta.
Di Sidon, jurugambar AFP melihat pasukan pertahanan awam dari wilayah Tyre tiba di bandar itu selepas tentera Israel mengarahkan mereka berpindah.
Ketua pertahanan awam bandar Tyre, Ali Safieddine berkata, mereka telah berpindah sementara ke Sidon.
Tentera Israel berkata, sebuah dron letupan Hizbollah membunuh seorang tenteranya pada Sabtu, menjadikan jumlah kematian askar rejim itu di Lubnan sejak awal Mac kepada 25 orang.
Tentera Israel turut mendakwa sejak bermulanya gencatan senjata, 900 pengganas Hizbollah telah dihapuskan.
Kementerian kesihatan Lubnan pula menyatakan serangan Israel telah membunuh lebih 3,412 orang sejak awal Mac.-AFP










