Pemimpin G7 optimis usaha damai Russia-Ukraine 

Pemimpin G7 optimis usaha damai Russia-Ukraine 

DONALD Trump menyambut Volodymyr Zelensky ketika pertemuan di kelab Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida.- AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) optimis terhadap prospek keamanan di Kyiv  selepas pertemuan yang disifatkan ‘sangat baik’ antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky kelmarin.

Trump menggesa Russia mencapai perjanjian damai dengan Ukraine selepas mengadakan pertemuan dengan Zelensky pada Selasa.

Kenyataan Trump mencetuskan harapan baharu dalam kalangan pemimpin G7 usaha menamatkan perang yang kini memasuki tahun kelima berpotensi menghasilkan perjanjian damai.

Perkembangan itu berbeza sama sekali dengan pertemuan Zelensky dan Trump di Pejabat Oval tahun lalu, apabila pemimpin Ukraine itu diberitahu Kyiv tidak mempunyai banyak kelebihan dalam sebarang rundingan damai dengan Moscow.

Zelensky bersama sekutu Eropahnya menghadiri sidang kemuncak G7 di Evian-les-Bains, Perancis, minggu ini dengan harapan dapat meyakinkan Trump kedudukan Ukraine di medan perang semakin kukuh susulan kejayaan serangan dron yang menembusi jauh ke dalam wilayah Russia.

Trump, yang hadir ke sidang kemuncak itu selepas mengumumkan perjanjian awal bagi menamatkan konflik dengan Iran berkata, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk menamatkan perang di Ukraine, namun tidak memperincikan langkah khusus bagi meningkatkan tekanan terhadap Moscow.

“Russia perlu mencapai perjanjian. Terlalu ramai golongan muda terkorban di medan perang di kedua-dua pihak. Saya akan melakukan apa sahaja yang termampu,” katanya kepada wartawan.

Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, kenyataan Trump menegaskan Russia perlu menamatkan perang adalah sesuatu yang melegakan.

“Saya mendapati beliau sangat bekerjasama dan saya juga melihat beliau mendengar dengan penuh perhatian.

“Dalam hal ini, sekali lagi, ia memberi saya tahap optimisme bahawa kami di sini, sebagai pihak Eropah dan AS, kini melakukan segala yang termampu bersama-sama untuk menamatkan perang,” kata Merz kepada wartawan.

Selepas pertemuan kumpulan bersama Trump, Zelensky memberitahu Reuters pemimpin G7 bersetuju Russia masih belum memenangi perang tersebut.

Beliau berkata, mereka juga membincangkan kemungkinan sekatan tambahan yang menyasarkan eksport minyak Russia, sektor perbankannya serta pengeluaran ketenteraan bagi memaksa Moscow ke meja rundingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN