PBB siap sedia pindahkan 11,000 pelaut terkandas di Teluk

PBB siap sedia pindahkan 11,000 pelaut terkandas di Teluk

GAMBAR fail menunjukkan beberapa kapal belayar di Pantai Suru di Bandar Abbas, sepanjang Selat Hormuz.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bersedia untuk memindahkan lebih 11,000 kelasi yang terkandas di Teluk berikutan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.

Setiausaha Agung IMO, Arsenio Dominguez berkata, operasi berskala besar itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Iran, Oman, AS, negara-negara pesisir lain di rantau itu dan industri maritim.

“Kami memperoleh jaminan keselamatan yang diperlukan dan mengesahkan sepenuhnya keadaan untuk pelayaran yang selamat bagi menyokong operasi ini,” katanya.

Satu perjanjian sementara ditandatangani minggu lalu untuk menamatkan konflik tersebut, namun AS dan Iran masih bertelagah mengenai butiran Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memulakan lawatan ke Teluk pada Selasa dengan kunjungan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dijadualkan turut melawat Kuwait serta Bahrain, yang menempatkan pangkalan tentera AS bagi membincangkan perjanjian dengan Teheran.

Rubio turut memberi amaran mana-mana negara tidak dibenarkan mengenakan tol di Selat Hormuz, selepas Iran dilaporkan cuba mengenakan caj ke atas kapal yang melalui laluan tersebut.

“Ini adalah laluan air antarabangsa. Tiada negara dibenarkan mengenakan tol atau yuran di laluan air antarabangsa. Itu adalah undang-undang antarabangsa sedia ada,” katanya ketika tiba di UAE.

Pemindahan pelaut yang terkandas bergantung kepada keputusan untuk Selat Hormuz kekal dibuka.

Dominguez berkata, perjanjian untuk membantu mereka merupakan langkah tegas ke arah memulihkan keselamatan maritim dan menamatkan serangan tidak boleh diterima terhadap kapal awam.

“Selepas berbulan-bulan kesukaran dan tekanan terhadap ribuan pelaut tidak bersalah, serta kesan negatif kepada seluruh dunia, saya menyambut baik perjanjian damai yang dicapai antara AS dan Iran,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan pemindahan IMO, dua laluan sementara melalui selat berkenaan boleh digunakan, dengan kapal akan dihubungi secara individu untuk arahan lanjut, menurut notis kepada pelaut yang dikeluarkan Oman dan disampaikan oleh badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

IMO turut memaklumkan, ia akan mengeluarkan laporan harian mengenai jumlah kapal yang berjaya keluar dari rantau itu dengan selamat.

Selepas 28 Februari, apabila serangan terhadap Iran bermula, negara itu secara efektif menutup selat tersebut, yang menyebabkan harga minyak global melonjak melebihi AS$100 (RM414) setong. 

Setakat ini, sekurang-kurangnya 172 kapal melalui semula Selat Hormuz yang dibuka semula, termasuk 42 kapal pada hari Sabtu sahaja, menurut data baharu daripada firma risikan maritim, Kpler.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN