GANZHOU: Seorang wanita di timur China akhirnya disatukan semula dengan keluarga kandungnya selepas 22 tahun lari dari rumah, hanya kerana terlalu takut dipukul selepas tidak sengaja memecahkan sebotol sabun mandi.
Kisah menyayat hati itu melibatkan Liu Xiuhong yang berasal daripada sebuah keluarga luar bandar di Ganzhou, wilayah Jiangxi.
Menurut laporan media tempatan Shicheng Media, ketika berusia sembilan tahun, Xiuhong mengikut ibu bapanya yang bekerja sebagai buruh migran untuk berhijrah ke Jieyang, wilayah Guangdong dan menetap di sebuah bilik sewa yang sempit.
Bagaimanapun, ketika sedang bermain di rumah rakannya pada 2004, Xiuhong secara tidak sengaja memecahkan botol kaca sabun mandi yang bernilai sekitar 10 yuan (RM6.02). Walaupun nilai tersebut kelihatan kecil pada hari ini, ia merupakan satu perbelanjaan yang besar bagi sebuah keluarga miskin pada waktu itu.
Bimbang akan dipukul atau dimarahi oleh ibunya, Xiuhong mengambil keputusan ekstrem untuk melarikan diri sebelum tersesat di sebuah pasar sayur, di mana dia kemudiannya ditemui oleh seorang lelaki yang menjadi bapa angkatnya. Identiti lelaki berkenaan bagaimanapun tidak didedahkan.
“Ibu bapa kandungnya pernah merayu bantuan melalui stesen televisyen tempatan selama tiga hari berturut-turut sejurus kehilangan tersebut, namun gagal menemui sebarang jejak,” lapor media tempatan.
Meskipun membesar dalam peliharaan keluarga angkat, Xiuhong yang kini berusia 31 tahun dilaporkan dijaga dengan amat baik di Guangdong. Malah, keluarga angkatnya itu turut membantu mengesan semula keluarga kandungnya.
Dengan bantuan pasukan sukarelawan dan pihak polis, Xiuhong akhirnya berjaya menjejaki semula keluarganya yang berada di Jiangxi.
Suasana hiba menyelubungi stesen kereta api berkelajuan tinggi apabila Xiuhong gagal menahan air mata lalu menangis teresak-esak sebaik sahaja meluru memeluk adik-beradik kandungnya yang sudah lama menanti ketibaannya.
Setibanya di rumah kampung mereka, kepulangan Xiuhong disambut meriah oleh ibu bapa kandungnya dengan dentuman mercun, kain rentang dan jambangan bunga.
“Anakku, emak minta maaf,” luah ibunya dalam tangisan sambil menyalahkan diri sendiri kerana gagal melindungi anak perempuannya itu.
Xiuhong turut memohon maaf kepada kedua-dua orang tuanya dan mengakui tindakan melarikan diri ketika kecil itu telah menyebabkan seluruh keluarganya hidup dalam penderitaan dan kerinduan yang berpanjangan. -AGENSI










