PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengumumkan rancangan untuk melengkapkan angkatan laut negara itu dengan senjata nuklear serta membina kapal perang yang lebih besar, ketika Pyongyang terus mempergiat usaha memperkukuh keupayaan ketenteraannya.
Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) kelmarin, Jong Un membuat kenyataan itu semasa majlis pentauliahan kapal perang Choe Hyon di bandar pelabuhan Nampho pada Selasa.
Kapal perang kelas 5,000 tan itu merupakan satu daripada dua kapal yang dilancarkan Korea Utara tahun lalu dan sebelum ini didakwa dilengkapi dengan senjata paling berkuasa.
“Program melengkapkan tentera laut dengan senjata nuklear sedang berjalan mengikut perancangan tanpa sebarang halangan. Ini adalah hala tuju strategik yang amat penting kerana ia membolehkan kekuatan nuklear negara sentiasa bersedia untuk beroperasi secara pelbagai dan berkesan,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Korea Utara yang berdepan pelbagai sekatan antarabangsa berhubung program nuklearnya berulang kali menegaskan ia tidak akan meninggalkan program tersebut, dianggap sebagai elemen utama pencegahan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Sebelum ini, Jong Un beberapa kali meninjau kapal perang Choe Hyon, termasuk menyelia ujian peluru berpandu kruis yang dilancarkan dari kapal itu pada April lalu.
“Selepas Choe Hyon, kami akan menugaskan kapal pemusnah Kang Kon untuk operasi dalam masa terdekat. Selepas itu, kami akan melancarkan kapal perang strategik seberat 10,000 tan secara berperingkat,” katanya.
Menurut perancangannya, Korea Utara akan membina dua kapal perang permukaan setiap tahun yang mempunyai keupayaan lebih tinggi daripada Choe Hyon, termasuk kapal kruiser seberat 10,000 tan.
Pyongyang berulang kali mengisytiharkannya sebagai negara nuklear yang tidak boleh dipulihkan sejak sidang kemuncak 2019 antara Jong Un dan Presiden AS, Donald Trump di Hanoi runtuh berikutan kegagalan mencapai persetujuan mengenai skop denuklearisasi serta pelepasan sekatan.
Korea Utara kekal secara teknikalnya masih dalam keadaan perang dengan Korea Selatan kerana konflik 1950–1953 hanya berakhir dengan gencatan senjata, bukannya perjanjian damai.- AFP










