SINGAPURA: Peralihan dalam trend pemberhentian pekerja menunjukkan bahawa tanggapan tradisi bahawa kelayakan akademik yang lebih tinggi dan pengisian jawatan senior mampu menjamin keselamatan kerjaya, kini mungkin tidak lagi terpakai dalam landskap pekerjaan yang semakin berkembang.
Data pemberhentian pekerja sebenarnya menunjukkan konsistensi dari semasa ke semasa di mana golongan pekerja yang berpendidikan tinggi, berkemahiran tinggi serta berusia lebih tua secara amnya berdepan risiko pemberhentian yang lebih tinggi sejak kebelakangan ini, kata Profesor Madya Walter Theseira dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).
Pakar ekonomi buruh itu menarik perhatian bahawa pemberhentian pekerja berlaku apabila sesebuah organisasi mempunyai lebihan kakitangan berbanding keperluan perniagaan mereka. Katanya, ia bukan belaku ketika mereka bergelut untuk menggaji dan mengekalkan pekerja.
Di Singapura katanya, organisasi sebaliknya lebih bergelut untuk mengambil dan mengekalkan pekerja bagi sektor pekerjaan berkemahiran rendah kerana keadaan tempat kerja bagi sektor tersebut dianggap agak daif.
Menurutnya, tambahan pula warga Singapura cenderung untuk tidak meminati pekerjaan sedemikian.
“Pekerjaan yang menjadi rebutan orang ramai bakal menyaksikan kadar pemberhentian yang lebih tinggi, berbanding pekerjaan yang tidak dimahukan oleh orang ramai.
“Oleh itu, kita mungkin mempunyai pekerjaan atau kerjaya yang terjamin tetapi tidak dimahukan (atas faktor lain termasuk gaji rendah, prospek suram atau kerja yang sukar) dan pekerjaan atau kerjaya tidak stabil (menawarkan gaji dan prospek tinggi selagi industri berkembang) yang menjadi kegilaan ramai,” katanya.
Bagi Steven Neo, 46, kehilangan jawatan sebagai pengurus program kanan di sebuah syarikat gergasi teknologi global bukan sekadar memberi tamparan dari segi kewangan, malah ia merupakan satu kehilangan besar terhadap identiti diri yang selama ini berpaksikan kerjayanya.
“Sebagai seorang bapa dalam komuniti Asia, saya fikir terdapat banyak jangkaan sosial tentang bagaimana peranan seorang lelaki dan bapa sebagai ketua keluarga,” katanya.
Neo menambah bahawa beliau berjaya mengatasi fasa kesedihan awal selepas diberhentikan kerja hasil sokongan isteri dan anak perempuannya yang masih kecil. – AGENSI










