ISTANBUL: Empat kelasi warga India yang terkandas selama 10 bulan di atas sebuah kapal kontena terbiar di luar pesisir Turkiye akhirnya berjaya dipindahkan dari kapal tersebut, kata seorang pemeriksa kepada AFP pada Isnin.
Keempat-empat mereka terperangkap di atas kapal AZRA C yang berdaftar di Mongolia yang berlabuh di luar pesisir Istanbul di Laut Marmara sejak Ogos 2025 selepas pemilik kapal itu ditahan pada Januari lalu berkaitan rampasan dadah antarabangsa berskala besar.
“Kesengsaraan yang dialami kru akhirnya berakhir,” kata wakil Turkiye bagi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF), Selahattin Polat.
Minggu lalu, kru berkenaan berkongsi penderitaan mereka kepada AFP melalui orang tengah.
ITF bersama Persatuan Solidariti Pekerja Marin (DAD-DER) sebelum ini membekalkan air minuman bersih dan keperluan asas kepada kru berkenaan.
Menurut undang-undang maritim antarabangsa, sesebuah kapal mesti mempunyai bilangan kru mencukupi pada setiap masa untuk menghadapi sebarang kecemasan, sama ada ketika berada di pelabuhan atau berlabuh.
Namun, Polat berkata, kru tersebut tidak digantikan.
“Kru baharu tidak tiba. Kapal itu dibiarkan tanpa kru,” katanya sambil menjelaskan keselamatan kapal akan dijamin menerusi kaedah lain.
Beliau berkata, proses undang-undang untuk menangani kapal terbiar itu masih berjalan.
Kes ini mendedahkan masalah berkaitan pengabaian kapal, yang menurut ITF kini menjadi masalah sistemik dalam industri perkapalan.
Data ITF menunjukkan tahun 2025 merupakan tahun terburuk pernah direkodkan bagi kes pengabaian kapal, menjejaskan 6,233 pelaut di atas 410 kapal, dengan warga India menjadi kumpulan paling terkesan.
Turkiye merekodkan jumlah pengabaian tertinggi dengan 61 kes tahun lalu.
Ketika ini, terdapat 15 kapal berbendera asing yang diklasifikasikan sebagai kapal terbiar sedang berlabuh di Laut Marmara, kawasan perairan yang terletak di antara Selat Bosphorus yang menuju ke Laut Hitam dan Selat Dardanelles, pintu masuk ke Laut Mediterranean.-AFP










