Kekurangan kertas undi cetus bantahan besar di Seoul

Kekurangan kertas undi cetus bantahan besar di Seoul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Polis antirusuhan Korea Selatan menyuraikan penunjuk perasaan dari sebuah pusat mengundi di Seoul pada Jumaat selepas kepungan selama 35 jam tercetus susulan kekurangan kertas undi ketika pilihan raya tempatan awal minggu ini.

Pilihan raya Rabu lalu merupakan pengundian peringkat nasional pertama sejak Presiden, Lee Jae Myung mengambil alih pentadbiran selepas penyingkiran Yoon Suk Yeol susulan pengisytiharan undang-undang tentera yang berlangsung singkat.

Parti pemerintah, Parti Demokratik yang dipimpin Jae Myung memenangi sebahagian besar pertandingan, namun gagal merampas kerusi penting Datuk Bandar Seoul.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) memohon maaf sambil menyalahkan kegagalan menjangka jumlah keluar mengundi selepas 14 pusat pengundian di Seoul kehabisan kertas undi.

Sesetengah pusat pengundian terpaksa dilanjutkan operasi sehingga pukul 10 malam bagi membolehkan penduduk mengundi, namun langkah itu gagal meredakan kritikan terhadap pengendalian pilihan raya oleh suruhanjaya berkenaan.

Penunjuk perasaan yang membawa plakad bertulis ‘Hentikan pengiraan undi’ dan ‘Batalkan pilihan raya’ menghalang pihak berkuasa di daerah Jamsil 7-dong, Seoul daripada mengalihkan dua peti undi.

Kumpulan kecil bantahan pada malam pilihan raya dilaporkan meningkat kepada lebih 1,000 penunjuk perasaan menjelang Khamis, menurut Yonhap.

Petugas pusat mengundi pula dilaporkan terpaksa berada di dalam bangunan sehingga pagi Jumaat, menurut KBS.

Dua peti undi yang mengandungi kira-kira 2,000 kertas undi akhirnya berjaya dipindahkan ke pusat pengiraan selepas polis antirusuhan campur tangan pada pagi Jumaat, kata seorang pegawai Agensi Polis Kebangsaan Korea kepada AFP.

Rakaman siaran langsung menunjukkan polis mengangkat dan mengalihkan penunjuk perasaan yang menghalang pintu masuk pusat pengundian, dengan sebahagian daripada mereka menjerit serta melawan.

Situasi tegang turut tercetus apabila seorang lelaki menjerit ‘Adakah ini benar-benar negara yang berasaskan kedaulatan undang-undang?’ ketika anggota polis berulang kali mengarahkan penunjuk perasaan beredar.

Jae Myung pada Khamis mengarahkan siasatan dijalankan terhadap masalah kekurangan kertas undi itu sambil menyifatkannya sebagai kelemahan yang sukar diterima.

Ketua Parti Kuasa Rakyat (PPP), Jang Dong-hyeok yang mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tempatan selepas kontroversi undang-undang tentera Suk Yeol, mengunjungi NEC pada Khamis dan berkata, pilihan raya perlu diadakan semula.

Selepas mengisytiharkan undang-undang tentera, Suk Yeol yang kini dipenjarakan dan dibicarakan atas tuduhan pemberontakan mendakwa NEC mengabaikan amaran mengenai ancaman Korea Utara terhadap data pengundi serta gagal memberi kerjasama penuh kepada pemeriksaan agensi risikan.

Dakwaan Suk Yeol mendapat perhatian YouTuber berhaluan kanan dan penyokongnya yang kemudian menyebarkan teori penipuan pilihan raya yang tidak disahkan serta mempersoalkan kredibiliti suruhanjaya berkenaan.

“Tanggungjawab asas terletak pada suruhanjaya pilihan raya. Mereka melakukan kesilapan yang tidak masuk akal.

“Sudah wujud tahap ketidakpercayaan awam terhadap suruhanjaya pilihan raya sebelum ini dan insiden ini hanya memburukkan lagi keadaan. Saya fikir pelbagai syak wasangka dan tuduhan tidak dapat dielakkan,” kata Profesor Sains Politik dari Universiti Pengajian Asing Hankuk, Lee Jae-mook.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×