BEIRUT: Markas Pemerintah Pusat Tentera Iran mengumumkan pada Sabtu bahawa ia sekali lagi menutup Strait of Hormuz, laluan perkapalan strategik yang penting, susulan serangan Israel di selatan Lubnan yang disifatkannya sebagai pelanggaran terhadap perjanjian antara Teheran dan Amerika Syarikat (AS).
“Dengan ini diumumkan bahawa Selat Hormuz akan ditutup kepada semua trafik kapal. Langkah pertama ini adalah tindak balas terhadap pelanggaran janji oleh pihak musuh dan jika pencerobohan berterusan, langkah-langkah lanjut akan dirancang serta diambil untuk memaksa musuh mematuhi kewajipannya,” kata Ibu Pejabat Pusat Khatam-al Anbiya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh televisyen negara Iran.
Bagaimanapun, AS mempertikaikan pengumuman Iran mengenai Selat Hormuz dengan menyatakan bahawa trafik maritim masih berjalan seperti biasa dan tentera Amerika sedang memantau situasi bagi memastikan keadaan itu kekal.
“Iran tidak mengawal Selat Hormuz. Trafik terus bergerak, dan pasukan AS sedang memantau keadaan bagi memastikan ia kekal demikian,” kata Kapten Tim Hawkins, jurucakap Markas Pusat Tentera AS (CENTCOM).
Tentera itu turut menyatakan bahawa 55 kapal dagang telah melalui selat tersebut pada Sabtu, membawa lebih daripada 17 juta tong minyak, menunjukkan bahawa operasi perkapalan komersial masih diteruskan walaupun selepas pengumuman Teheran.
Sebelum ini, Iran menutup selat itu apabila AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari sebelum dibuka semula selepas Trump menandatangani perjanjian damai dengan negara tersebut pada Rabu lalu di Perancis. – AFP/AGENSI










