MANILA: Pasukan penyelamat yang berdepan hujan dan gegaran susulan bertungkus-lumus membersihkan laluan serta mencari mangsa yang hilang di selatan Filipina pada Jumaat, ketika angka kematian akibat gempa bumi kuat meningkat kepada 55 orang.
Gempa berukuran 7.8 magnitud yang berlaku berhampiran pantai Mindanao pada Isnin menyebabkan bangunan runtuh dan tanah runtuh di pulau selatan itu, selain mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau berkenaan.
Jumlah rasmi kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan lapan lagi kematian direkodkan, manakala jumlah individu yang masih hilang adalah seramai 31 orang selepas laporan daripada pihak berkuasa tempatan mula diterima secara berperingkat.
Di wilayah Sarangani yang terjejas teruk, ketua bencana wilayah, Rene Punzalan, memberitahu AFP bahawa banyak jalan yang terhalang telah dibersihkan, namun helikopter masih digunakan untuk menghantar makanan dan air kepada penduduk yang terputus hubungan serta masih tidak mendapat bekalan elektrik.
“Gegaran susulan melambatkan usaha kami, selain hujan turun malam tadi, jadi kami terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu,” katanya mengenai operasi yang menggunakan jentera pengorek untuk mengalihkan batu-batu besar.
Punzalan berkata, walaupun usaha mencari mangsa yang hilang masih diteruskan, harapan untuk menemui mereka yang terselamat semakin tipis.
“Sudah banyak hari berlalu sejak gempa bumi berlaku, jadi ia akan menjadi satu keajaiban jika ada antara mereka dapat diselamatkan hidup-hidup. Matlamat kami kini hanyalah membawa keluar mayat mereka,” katanya.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. pada Rabu melawat kawasan terjejas di General Santos, bandar terbesar di kawasan berkenaan, termasuk sebuah sekolah yang rosak dan pusat pengagihan bantuan.
Beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan 100 juta peso (RM6.6 juta) untuk membina semula dewan bandar raya itu.-AFP










