Gempa Bumi: Dunia 'berlumba' hantar bantuan ke Venezuela - Utusan Malaysia

Gempa Bumi: Dunia ‘berlumba’ hantar bantuan ke Venezuela

PENDUDUK tempatan berjalan di celah runtuhan bangunan susulan dua gempa bumi yang melanda Caraballeda kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Negara-negara dunia berlumba-lumba menyalurkan bantuan kepada Venezuela yang dilanda gempa bumi di mana setakat ini 234 mangsa disahkan terbunuh.
Bantuan ditawarkan sehari selepas bencana alam itu berlaku sehingga mengorbankan lebih 234 orang dan mencederakan lebih 1,500 yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain bantuan pasukan penyelamat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sepanyol dan Perancis turut menghantar berpuluh-puluh pakar. Switzerland menggerakkan 80 anggota, lapan anjing pengesan dan 18 tan peralatan untuk dihantar ke Venezuela secepat mungkin.

Belanda turut mengumumkan pakej bantuan sebanyak dua juta euro (RM9 juta) bagi menge­rahkan pasukan mencari dan menyelamat. Republik Czech turut berkata, pasukannya sedang bersiap sedia untuk berlepas.

Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata, pihak­nya menyalurkan AS$2.5 juta (RM10.2 juta) untuk menyokong usaha pemulihan.

Amerika Syarikat (AS) pula sedang mengerahkan dua kapal perang, pesawat pengangkut, helikopter dan mengge­rakkan bantuan bernilai AS$150 juta (RM615 juta).

China, India, Brazil dan Iran yang dilanda perang turut menawarkan bantuan, manakala Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Leo XIV menghantar bantuan awal sebanyak 100,000 euro (RM466,000) kepada negara itu.

Rakyat Venezuela kini bergelut untuk menyelamatkan mang­sa terselamat yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan, ketika gempa susulan kuat masih dirasai kelmarin. Usaha menyelamat bergerak perlahan, dengan mayat-mayat masih berada di bawah runtuhan beberapa jam selepas gempa bumi.

Sementara itu, di sebuah bandar di negeri La Guaira, kawasan paling teruk terjejas di utara Caracas, penduduk hanya mampu mendengar suara kanak-kanak menjerit meminta pertolongan selama berjam-jam.

Seorang ibu, Amparo del Giudice menggali timbunan besar konkrit dengan tangan kosong dalam usaha mencari anak lelakinya yang terperangkap di bawah runtuhan selepas gempa bumi paling kuat melanda Vene­zuela sejak tahun 1900.

“Banyak batu, dan dengan tangan kosong ia mustahil,” katanya sambil duduk tidak jauh dari tempat dia percaya anak­nya masih terperangkap.

Cucunya, Alessandro yang berusia 23 tahun, memakai topi keledar bomba sukarelawan dan turut serta dalam usaha mencari bapanya yang hilang.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN