China rampas gelaran superkomputer terpantas dunia dari AS

China rampas gelaran superkomputer terpantas dunia dari AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebuah superkomputer China berjaya merampas gelaran paling berkuasa di dunia, sekali gus menamatkan hampir sedekad penguasaan Amerika Syarikat (AS) dan menyerlahkan usaha Beijing membangunkan keupayaan pengkomputeran canggih menggunakan teknologi tempatan.

Sistem yang dikenali sebagai LineShine itu menduduki tangga teratas dalam ranking TOP500 yang diumumkan pada Isnin sempena persidangan pengkomputeran utama ISC Conference di Hamburg.

Ini merupakan kali pertama sejak 2017 sebuah superkomputer China mendahului senarai tersebut, yang diterbitkan dua kali setahun sejak 1993 dan dianggap sebagai penanda aras tidak rasmi bagi kuasa besar pengkomputeran dunia.

LineShine menyingkirkan juara terdahulu, El Capitan milik Jabatan Tenaga AS ke kedudukan kedua.

Terletak di Shenzhen, selatan China, mesin itu mencatat kelajuan operasi berterusan sebanyak 2.2 eksaflop, ukuran jumlah pengiraan yang mampu dilakukan komputer setiap saat.

Lebih penting, LineShine dibangunkan sepenuhnya menggunakan pemproses yang direka di China, tanpa bergantung kepada cip buatan AS yang digunakan oleh kebanyakan sistem berprestasi tinggi dunia.

Walaupun kehilangan kedudukan teratas, AS masih menguasai tiga daripada empat tempat terbaik dalam ranking berkenaan, dengan El Capitan yang ditempatkan di Lawrence Livermore National Laboratory, California, berada di tangga kedua.

Bagi Eropah pula, JUPITER Booster dari Jerman melengkapkan kelompok lima superkomputer terbaik dunia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×