China, Korea Utara cetus pelan strategik 'hubungan masa depan'

China, Korea Utara cetus pelan strategik ‘hubungan masa depan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pemimpin tertinggi Korea Utara dan China secara rasmi menerima pakai satu pelan tindakan berimpak besar bagi memperkasakan hubungan dua hala, susulan lawatan kerja Presiden China, Xi Jinping ke Pyongyang baru-baru ini.

Jinping menghadiri lawatan tersebut pada Ahad lalu selepas beliau selesai menjadi tuan rumah kepada beberapa siri pertemuan dengan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Pemimpin Russia, Vladimir Putin di Beijing.

Kunjungan diplomatik tersebut juga berlangsung ketika hubungan antara Korea Utara dan Russia dilaporkan berada pada tahap yang sangat intim, khususnya selepas tindakan Pyongyang menghantar pasukan tentera serta bekalan peluru bagi membantu kempen pencerobohan Moscow di Ukraine.

Menurut KCNA, Presiden Korea Utara, Kim Jong-un dan Jinping menzahirkan rasa puas hati serta keterujaan yang mendalam terhadap pencapaian kedua-dua buah negara dalam merangka pelan tindakan jangka panjang demi masa depan hubungan bersama.

“Sepanjang lawatan dua hari berkenaan, kedua-dua negara berjaya memperkukuh keakraban revolusioner serta hubungan setiakawan yang erat, selain menegaskan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk mengangkat hubungan tradisi DPRK-China menjadi model hubungan strategik yang paling utuh,” jelas agensi berita itu lagi.

Ketika berada di Pyongyang, kedua-dua pemimpin dilaporkan turut melawat Sekolah Latihan Kader Pusat Parti Pekerja bagi membincangkan agenda latihan pegawai parti serta menanam pokok peringatan, sebelum berkunjung ke Monumen Menara Persahabatan bagi memberi penghormatan kepada tentera China yang terkorban dalam Perang Korea.

Menerusi satu kenyataan bertulis, Jinping menjelaskan rundingan berkenaan membuktikan keazaman kedua-dua belah pihak untuk terus menyemarakkan hubungan persahabatan tradisional, memacu pembangunan dan kemakmuran bersama serta mempertahankan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan dan dunia amnya.

Terdahulu pada Selasa, agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan kenyataan Jinping yang menegaskan beliau telah mencapai konsensus penting dengan Jong-un dalam membangunkan hubungan China-DPRK bagi mendepani era baharu.

Media rasmi di Beijing melaporkan Jinping turut mendesak agar jalinan kerjasama dalam sektor diplomatik, penguatkuasaan undang-undang serta ketenteraan dipertingkatkan antara kedua-dua buah negara.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Penganalisis daripada Institut Penyelidikan Penyatuan Kebangsaan Korea, Hong Min berpendapat, langkah perkongsian maklumat dalam sektor ketenteraan tersebut menunjukkan kecenderungan China untuk menilai sendiri perubahan teknologi dalam tentera Korea Utara, termasuk status pemindahan teknologi dari Russia.

“China juga berkemungkinan besar berharap dapat mengumpul maklumat risikan bagi tujuan memantau trend serta pengaruh rangkaian manusia yang pro-Russia dan pro-China dalam struktur kepimpinan tentera Korea Utara,” tambah beliau. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×