Parti PM Ethiopia menang besar pilihan raya umum - Utusan Malaysia

Parti PM Ethiopia menang besar pilihan raya umum

ABIY AHMED - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADDIS ABABA: Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed muncul sebagai pemenang besar dalam pilihan raya umum negara itu selepas parti pimpinannya berjaya mengekalkan majoriti besar di parlimen meskipun proses pengundian dibayangi konflik berdarah, dakwaan penindasan serta boikot oleh sebahagian besar parti pembangkang.

Pengisytiharan kemenangan itu dibuat oleh suruhanjaya negara itu pada Ahad selepas pilihan raya umum diadakan pada 1 Jun lalu.

Parti Kemakmuran yang dipimpin Abiy memenangi 438 daripada 501 kerusi yang dipertandingkan sekali gus bakal membentuk kerajaan baharu. Perkembangan itu membolehkan Abiy mengangkat sumpah bagi penggal seterusnya menjelang awal Oktober depan.

Kemenangan ini dianggap sebagai satu lonjakan besar buat penyokong Abiy yang percaya beliau akan meneruskan agenda pertumbuhan ekonomi yang diterajuinya sebelum ini.

Bagaimanapun, segelintir pihak menyuarakan kebimbangan bahawa perpecahan dalaman serta cabaran keselamatan yang dihadapi negara kedua paling padat penduduk di Afrika itu akan menjadi lebih parah di bawah kepimpinan beliau.

Pemimpin berusia 49 tahun itu pertama kali memegang tampuk kuasa di tengah-tengah protes antikerajaan pada tahun 2018. Pada peringkat awal, Abiy dipuji atas usahanya menyatukan negara. Namun, tindakan beliau mencetuskan kemarahan ahli politik dari wilayah utara Tigray yang telah mendominasi kerajaan selama lebih dua dekad.

Hanya setahun kemudian, Abiy dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel, terutamanya atas usahanya menamatkan permusuhan dengan negara jiran di utara Ethiopia, Eritrea.

Abiy memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2019, namun kini berdepan kecaman ekoran kegagalan mengekalkan kestabilan domestik.

Meskipun begitu, pakar-pakar keselamatan bimbang negara tersebut mungkin kembali terjerumus ke kancah peperangan memandangkan pemberontakan ganas dan berdarah di wilayah Amhara dan Oromia masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Pada hari pengundian, sebanyak 143 pusat pembuangan undi di dua wilayah paling padat penduduk itu gagal dibuka atas faktor keselamatan berikutan ancaman daripada kumpulan bersenjata yang menentang kerajaan.

Kumpulan militia Fano di Amhara dan Tentera Pembebasan Oromo (OLA) yang diharamkan di Oromia di mana kedua-duanya menuntut autonomi yang lebih besar bertindak menolak pilihan raya tersebut serta keputusan yang diumumkan.

Situasi sama turut membimbangkan di Tigray yang kini masih dalam proses pemulihan selepas perang saudara selama dua tahun yang hanya berakhir pada 2022. 

Wilayah berkenaan bersama enam juta penduduknya yang merangkumi 38 kawasan parlimen, dikecualikan sepenuhnya daripada pilihan raya tersebut di tengah-tengah kebimbangan yang semakin memuncak bahawa pertempuran boleh meletus semula pada bila-bila masa. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN