NEW YORK: Seorang wanita berusia 56 tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang pembentung yang tidak bertutup di sebuah jalan sibuk di Manhattan, menurut polis pada Selasa.
Mangsa dilaporkan meletakkan keretanya lewat malam Isnin sebelum secara tidak sengaja terpijak lubang terbuka itu, menurut media AS yang melaporkan wanita terbabit terjatuh sedalam kira-kira tiga meter.
Jabatan Polis New York (NYPD) berkata, anggotanya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam lubang berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih diteruskan,” kata jurucakap NYPD.
Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan sebuah Mercedes hitam diparkir dengan pintu pemandu berada betul-betul di sebelah lubang yang kemudiannya dipasang penghadang keselamatan.
Syarikat tenaga New York, Con Edison memaklumkan pihaknya sedang menyiasat punca lubang itu dibiarkan terbuka.-AFP









