KYIV: Ukraine meningkatkan tekanan ke atas Russia pada Selasa selepas mengumumkan gencatan senjatanya sendiri sebagai tindak balas terhadap tuntutan Moscow untuk menghentikan pertempuran sempena sambutan tahunan Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan pelaksanaan gencatan senjata antara 8 hingga 9 Mei bagi membolehkan Moscow mengadakan sambutan itu sebagai ‘tidak serius’ dan membalas dengan mengumumkan gencatan senjata sendiri bermula tengah malam Selasa.
Russia mengancam akan melancarkan ‘serangan peluru berpandu besar-besaran’ ke atas Kyiv sekiranya Ukraine melanggar gencatan senjata sempena Hari Kemenangan.
Pertikaian antara kedua-dua pihak berlaku ketika usaha diplomatik yang diterajui Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang semakin perlahan, apabila Washington mengalihkan tumpuan kepada konflik di Asia Barat.
Menurut pegawai Ukraine, serangan Russia mengorbankan sembilan orang di beberapa lokasi di negara itu pada Isnin, manakala sebuah dron Ukraine dilaporkan terhempas ke bangunan tinggi di kawasan kejiranan mewah di Moscow pada waktu malam.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan gencatan senjata dari 8 hingga 9 Mei 2026 diisytiharkan atas arahan Presiden, Vladimir Putin.
“Kami berharap pihak Ukraine akan turut mematuhinya. Jika Kyiv cuba melaksanakan rancangan jenayahnya untuk mengganggu sambutan ulang tahun ke-81 kemenangan dalam Perang Patriotik Agung, Angkatan Tentera Russia akan melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran ke pusat bandar raya Kyiv.
“Kami memberi amaran kepada penduduk awam Kyiv dan kakitangan misi diplomatik asing supaya segera meninggalkan bandar itu,” menurut kenyataan kementerian itu di aplikasi pesanan disokong kerajaan, MAX.
Russia menyambut Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua setiap tahun dengan perarakan ketenteraan besar-besaran diadakan di Dataran Merah.
“Setakat ini, tiada sebarang rayuan rasmi kepada Ukraine berhubung kaedah pelaksanaan penghentian permusuhan seperti yang didakwa di media sosial Russia.
“Kami percaya nyawa manusia jauh lebih bernilai berbanding ‘sambutan’ ulang tahun kemenangan. Sehubungan itu, kami mengumumkan pelaksanaan gencatan senjata bermula 12 tengah malam pada 5 hingga 6 Mei,” kata Zelensky dalam hantaran di platform X.
Beliau tidak menyatakan tempoh gencatan senjata itu akan berlangsung.- AFP










