WASHINGTON/BEIJING: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, bersetuju pada Khamis bahawa Selat Hormuz mesti kekal dibuka, menurut Rumah Putih ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di Beijing.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa Selat Hormuz mesti kekal dibuka bagi menyokong kelancaran aliran bekalan tenaga,” kata Rumah Putih yang menyimpulkan lawatan Trump ke China dari Rabu hingga hari ini.
Dalam sidang kemuncak itu, kedua-dua pemimpin membincangkan perang di Asia Barat, konflik Ukraine serta isu di Semenanjung Korea ketika mereka bertemu di Beijing pada Khamis, menurut kerajaan China.
“Kedua-dua ketua negara bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau utama, termasuk situasi di Asia Barat, krisis Ukraine dan Semenanjung Korea,” menurut kenyataan Kementerian Luar China.
Iran sebahagian besarnya telah menyekat perkapalan melalui laluan laut penting itu. Pada kebiasaannya, ia menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dan gas asli dunia, sejak tercetusnya perang dengan AS-Israel pada 28 Februari.
China menerima kesan langsung daripada kekurangan penghantaran petroleum merentasi Selat Hormuz.
Menurut firma analitik maritim Kpler, lebih separuh minyak mentah yang diimport melalui laut ke China datang dari Asia Barat dan kebanyakannya melalui selat tersebut.
Menurut Rumah Putih, Jinping menyatakan minat untuk membeli lebih banyak minyak AS bagi mengurangkan kebergantungan China terhadap selat itu pada masa hadapan.
Namun, kenyataan rasmi Beijing mengenai pertemuan tersebut tidak menyebut sebarang minat sedemikian.
Bagi pihaknya, kenyataan Rumah Putih pula tidak menyebut sebarang perbincangan antara kedua-dua pemimpin mengenai Taiwan, pulau diperintah sendiri yang dituntut Beijing dan merupakan isu sensitif dalam diplomasi AS-China.
Jinping sebelum ini memberi amaran bahawa konflik antara China dan AS boleh tercetus sekiranya isu itu tidak dikendalikan dengan baik, menurut laporan media kerajaan China.
Trump tiba di Beijing pada Rabu untuk sidang kemuncak berprofil tinggi bersama Jinping yang bertujuan meredakan ketegangan mendalam antara dua kuasa besar pesaing itu.
Sambil mengangkat penumbuknya, Trump menuruni tangga pesawat rasminya, Air Force One selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dan memulakan lawatan pertama seorang presiden AS ke China dalam tempoh hampir sedekad.
Turut berada di belakang beliau ialah ketua Tesla, Elon Musk dan ketua Nvidia, Jensen Huang. Huang yang berketurunan Taiwan. Huang adalah simbol penting kepada perjanjian perniagaan yang diharapkan Trump dapat dimeterai antara dua ekonomi terbesar dunia itu. – AFP/AGENSI










