Trump berang hakim arah namanya dilarang digunakan untuk bangunan - Utusan Malaysia

Trump berang hakim arah namanya dilarang digunakan untuk bangunan

TRUMP marah hakim tolak penggunaan namanya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengabadikan namanya di Pusat Kennedy, Washington DC  menerima tamparan hebat.

Ia berlaku selepas mahkamah persekutuan pada Jumaat bukan sahaja menyekat penutupan sementara bangunan itu untuk pengubahsuaian, malah mengarahkan nama beliau dipadamkan serta-merta.

Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Sabtu, Trump menempelak hakim yang mengendalikan kes itu dan mempersoalkan keperluan mendesak untuk mengubahsuai Pusat Kennedy dan bagaimana keputusan mahkamah tersebut telah menghalang premis itu daripada menjadi antara yang ‘terbaik di dunia’.

“Boleh anda bayangkan? Seorang hakim lantikan Barack Hussein Obama (bekas presiden) bernama Christopher Cooper telah menghentikan pembinaan semula struktur dan estetika yang megah di ‘The Trump Kennedy Center’. 

“Berjuta-juta dolar bahan binaan, marmar, perabot, keluli, sistem penghawa dingin, pemanas dan pelbagai lagi telah atau bakal ditempah tidak lama lagi. 

“Usaha ini sepatutnya mengubah struktur yang kini berisiko runtuh, berkarat, reput dan dipenuhi tikus serta serangga, menjadi sebuah binaan yang terbaik di dunia,” tulisnya.

Hakim Daerah AS, Casey Cooper ketika mendengar kes tersebut memutuskan bahawa bangunan itu tidak boleh dinamakan semula tanpa kelulusan daripada Kongres.

Perintah mahkamah itu menetapkan agar nama Trump dikeluarkan daripada dokumen rasmi institusi, bahagian hiasan serta sebarang papan tanda fizikal mahupun digital dalam tempoh 14 hari.

Pada Februari 2025, Trump telah menggantikan beberapa pemegang amanah dalam lembaga pengarah pusat tersebut dan melantik dirinya sendiri sebagai pemegang amanah. Beliau juga telah mengundi dirinya untuk memegang jawatan sebagai pengerusi pusat kesenian berkenaan.

Pada Disember tahun yang sama, lembaga pengarah memutuskan untuk menamakan semula institusi itu dan keesokannya, nama Trump telah menghiasai bahagian serambi bangunan tersebut.

Projek pengubahsuaian bangunan berkenaan telah diumumkan oleh Trump pada Februari lalu bertujuan untuk menyambut ulang tahun ke-250 negara tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN