Sri Lanka naikkan lagi harga petrol ikut pelan IMF - Utusan Malaysia

Sri Lanka naikkan lagi harga petrol ikut pelan IMF

HARGA petrol dinaikkan kerana mengikut pelan IMF. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sri Lanka bertindak menaikkan harga bahan api sehingga enam peratus pada Ahad sebagai langkah menyelaraskan pelan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menampung semula kos tenaga serta menghentikan pemberian subsidi secara berperingkat demi menstabilkan ekonomi negara.

Berdasarkan kenyataan perbadanan milik kerajaan, Perbadanan Petroleum Ceylon, harga bagi petrol gred biasa kini dinaikkan kepada 434 rupee (RM5.21) seliter berbanding 410 rupee (RM4.92) sebelum ini.

Harga bagi diesel pula meningkat kepada 407 rupee (RM4.89) seliter berbanding kadar asal iaitu 392 rupee (RM4.71).

Langkah kenaikan harga terbaharu itu dibuat selang beberapa hari selepas pihak IMF menyalurkan pusingan dana bantuan seterusnya bernilai AS$695 juta (RM2.7 bilion).

Ia adalah daripada keseluruhan pakej pinjaman menyelamat berjumlah AS$2.9 bilion (RM11.4 bilion) yang telah dipersetujui pada awal 2023 bagi memulihkan kedudukan kewangan negara Asia Selatan yang sedang mengalami kekangan tunai tersebut.

Pihak IMF sebelum ini telah menetapkan syarat agar Sri Lanka memastikan pengurusan pemulihan kos dilaksanakan sepenuhnya bagi kedua-dua tarif bahan api dan juga elektrik.

Sebelum ini, kedua-dua sektor berkenaan telah menerima suntikan subsidi bersasar daripada pihak kerajaan sejak bermulanya konflik di Asia Barat pada Februari lalu.

Menerusi satu surat rasmi kepada IMF yang didedahkan kepada umum oleh pemberi pinjaman antarabangsa berpangkalan di Washington itu, Presiden Anura Kumara Dissanayake mengesahkan bahawa skim bantuan subsidi bahan api di negara berkenaan akan dihentikan sepenuhnya secara berperingkat menjelang September depan.

Sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang mencetuskan krisis tenaga global, Sri Lanka dilaporkan telah menaikkan harga runcit petrol dan diesel sehingga sekitar 48 peratus, manakala kadar tarif elektrik pula melonjak naik sebanyak satu pertiga daripada kadar asal.

Situasi global menjadi semakin meruncing selepas Selat Hormuz iaitu laluan air paling kritikal yang menguruskan sekitar 20 peratus eksport minyak dunia pada waktu aman, kini telah ditutup sepenuhnya oleh pihak Iran ekoran ketegangan konflik yang berlaku.

Krisis penutupan laluan laut tersebut memberikan tamparan hebat memandangkan Sri Lanka merupakan sebuah negara yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan import bagi kesemua sumber minyak mentah, selain perlu membeli bekalan arang batu dari luar negara untuk tujuan penjanaan tenaga elektrik domestik. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN