DUBAI: Satu serangan dron mencetuskan kebakaran berhampiran sebuah loji janakuasa nuklear di Abu Dhabi pada Ahad, menurut pihak berkuasa dan memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dan tiada kesan terhadap tahap radiasi.
Kementerian Pertahanan UAE berkata, ia merupakan salah satu daripada tiga dron yang memasuki negara dari arah sempadan barat.
Peluru itu mengenai sebuah penjana elektrik di luar perimeter dalaman Loji Tenaga Nuklear Barakah di kawasan Al Dhafra.
“Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sumber serangan dan perkembangan lanjut akan diumumkan selepas siasatan selesai,” tambah kementerian itu.
Penasihat presiden UAE, Anwar Gargash dilihat merujuk kepada Iran dan kumpulan proksi serantaunya dalam kecaman terhadap serangan itu.
“Serangan terhadap loji tenaga nuklear bersih Barakah, sama ada dilakukan oleh dalang utama atau melalui salah satu ejennya, merupakan peningkatan berbahaya,” tulisnya di X.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu gambaran gelap yang melanggar semua undang-undang dan norma antarabangsa dan menuduh pihak bertanggungjawab tidak menghiraukan nyawa orang awam di UAE.
Kumpulan bersenjata yang disokong Iran dan dilengkapi dron berpangkalan di Iraq. Sekutu Teheran di Yeman iaitu Houthis turut memiliki dron tempur.
UAE mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa provokasi itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatannya dalam apa jua keadaan, menurut kenyataan kementerian luar negara itu.
“Serangan ini merupakan peningkatan berbahaya, tindakan pencerobohan yang tidak boleh diterima dan ancaman langsung terhadap keselamatan negara,” tambahnya.
Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan membuat panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Qatar, Jordan, Arab Saudi, Kuwait, Maghribi, Mesir dan Bahrain selepas serangan itu, menurut pejabatnya di X.
UAE merupakan negara kedua di rantau itu yang membina loji janakuasa nuklear selepas Iran dan yang pertama di dunia Arab.
Kenyataan Abu Dhabi tidak menyatakan dari mana dron itu dilancarkan, namun UAE baru-baru ini menuduh Iran berada di sebalik serangan terhadap infrastruktur tenaga dan ekonominya.
Teheran melancarkan serangan balas di seluruh rantau selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari dan mencetuskan perang yang lebih meluas di Asia Barat. – AFP










