WASHINGTON: Laporan awam pentadbiran Presiden, Donald Trump mengenai kekuatan tentera Iran yang sudah hancur dilaporkan bercanggah dengan penilaian risikan Amerika Syarikat (AS) yang dibentangkan secara sulit kepada pembuat dasar, menurut penilaian klasifikasi awal bulan ini.
Menurut laporan New York Times, dokumen itu menunjukkan Iran kembali mendapat akses kepada sebahagian besar tapak peluru berpandu, pelancar dan kemudahan bawah tanahnya.
Antara yang paling membimbangkan beberapa pegawai kanan ialah bukti bahawa Iran telah memulihkan akses operasi sekitar 30 daripada 33 tapak peluru berpandu yang terletak di sepanjang Selat Hormuz, yang berpotensi mengancam kapal perang AS serta kapal tangki minyak yang melalui laluan sempit itu.
Sumber yang mengetahui penilaian tersebut berkata, Iran juga boleh menggunakan pelancar bergerak di dalam tapak berkenaan untuk menggerakkan peluru berpandu ke lokasi lain.
Dalam beberapa kes, pelancaran juga boleh dilakukan terus dari platform pelancaran di dalam kemudahan tersebut.
Hanya tiga tapak peluru berpandu di sepanjang selat itu masih tidak dapat diakses sepenuhnya, menurut penilaian itu.
Iran juga masih memiliki kira-kira 70 peratus pelancar bergeraknya di seluruh negara serta sekitar 70 peratus stok peluru berpandu sebelum perang.
Stok itu merangkumi peluru berpandu balistik yang boleh menyasarkan negara lain di rantau tersebut, serta sejumlah peluru berpandu kruis untuk sasaran jarak lebih dekat di darat atau laut.
Agensi risikan tentera turut melaporkan Iran telah memperoleh semula akses kepada kira-kira 90 peratus kemudahan simpanan dan pelancaran bawah tanah di seluruh negara, yang kini dinilai sebagai sebahagian atau sepenuhnya beroperasi.
Penemuan ini bercanggah dengan kenyataan awam berbulan-bulan oleh Trump dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, yang mendakwa kekuatan tentera Iran sudah hancur dan tidak lagi menjadi ancaman.
Dalam respons, jurucakap Rumah Putih, Olivia Wales mempertahankan kenyataan Trump, mendakwa Iran kini berada dalam keadaan yang tidak mampan dan sesiapa yang mengatakan sebaliknya dianggap tidak rasional atau menyebarkan propaganda.
Jurucakap Pentagon, Joel Valdez pula mengkritik laporan media berkenaan penilaian risikan itu, menyifatkan liputan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
Penilaian risikan baharu itu juga menunjukkan kemungkinan Trump dan penasihat tenteranya telah terlebih anggar kerosakan terhadap keupayaan peluru berpandu Iran serta meremehkan ketahanan negara itu.
Ia turut menimbulkan cabaran besar sekiranya gencatan senjata rapuh yang berlangsung sebulan itu runtuh dan pertempuran berskala penuh kembali meletus.
Tentera AS dilaporkan telah mengurangkan stok beberapa jenis peluru penting termasuk peluru berpandu Tomahawk, Patriot serta sistem serangan darat ATACMS, ketika Iran masih mengekalkan keupayaan ketenteraan yang signifikan di sekitar Selat Hormuz, laluan yang membawa kira-kira satu perlima penggunaan minyak dunia setiap hari.
Markas Pusat AS (CETCOM) menyatakan dalam satu hantaran media sosial, lebih 20 kapal perang AS kini menjalankan operasi di kawasan itu bagi menguatkuasakan sekatan terhadap Iran.
Jika Trump mengarahkan serangan baharu, tentera AS perlu menggunakan lebih banyak stok peluru berpandu yang kritikal, sekali gus menambah tekanan terhadap simpanan senjata negara itu.
Pegawai Pentagon secara terbuka dan tertutup menafikan bahawa stok peluru AS berada pada tahap berbahaya.
Namun sekutu Eropah yang membeli peluru berpandu AS untuk dihantar ke Ukraine semakin bimbang bekalan itu mungkin tertangguh sekiranya keutamaan diberikan kepada konflik dengan Iran.-AGENSI










