MOSCOW: Russia menyasarkan Ukraine dengan 600 dron dan 90 peluru berpandu dalam serangan besar-besaran semalaman, termasuk peluru berpandu balistik jarak sederhana, menurut tentera udara Ukraine pada Ahad.
Tentera Udara Ukraine menerusi Telegram bagaimanapun berkata, sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas 549 dron dan 55 peluru berpandu.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pegawai-pegawai di Kyiv dan kawasan sekitarnya melaporkan empat orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera.
Kyiv di Ukraine telah diserang dalam serangan udara besar-besaran sepanjang malam hingga awal pagi Ahad, menurut pihak berkuasa,
Ia berlaku selepas pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine memberi amaran tentang kemungkinan serangan peluru berpandu Russia akan berlaku.
Sebelum ini, Presiden Russia, Vladimir Putin telah mengarahkan tindakan balas terhadap serangan Ukraine yang membawa maut di negara bekas komunis itu.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata, serangan terbaru itu mengenai beberapa lokasi di ibu negara Ukraine, termasuk bangunan kediaman, asrama pelajar, pusat servis kereta dan sebuah pusat beli-belah.
Pada lewat malam Sabtu, Tentera Udara Ukraine mengeluarkan amaran mengenai pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana.
Russia mengesahkan pada Ahad bahawa ia telah melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik Oreshnik yang berkeupayaan nuklear ke atas Ukraine dalam serangan besar-besaran.
“Angkatan Tentera Persekutuan Russia telah melaksanakan serangan besar-besaran menggunakan peluru berpandu balistik Oreshnik, peluru berpandu balistik Iskander yang dilancarkan dari udara, peluru berpandu hipersonik Kinzhal yang dilancarkan dari udara dan peluru berpandu kruis Tsirkon selain dron,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia. – AGENSI










