PARIS: Puluhan juta manusia boleh berdepan kebuluran dan kelaparan sekiranya baja tidak dibenarkan melalui Selat Hormuz dalam masa terdekat.
Pendedahan itu dibuat oleh Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Perkhidmatan Projek, Jorge Moreira da Silva kepada AFP pada Isnin.
Iran telah mengawal ketat laluan strategik itu yang biasanya mengendalikan satu pertiga daripada perdagangan baja dunia selama beberapa bulan sebagai tindak balas terhadap perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari.
Ia mengganggu perdagangan penting bagi petani di seluruh dunia.
“Kita hanya mempunyai beberapa minggu untuk mengelakkan apa yang berkemungkinan menjadi krisis kemanusiaan besar,” kata Silva,dalam wawancara bersama AFP di Paris.
“Kita mungkin menyaksikan krisis yang akan menyebabkan tambahan 45 juta orang mengalami kebuluran dan kelaparan,” tambahnya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menubuhkan pasukan petugas itu pada Mac untuk menerajui satu mekanisme yang membolehkan baja dan bahan mentah berkaitan seperti ammonia, sulfur dan urea melalui selat tersebut.
Selama beberapa minggu, Silva berusaha meyakinkan pihak yang berperang supaya membenarkan sekurang-kurangnya beberapa kapal melalui selat tersebut.
Beliau telah bertemu dengan lebih 100 negara bagi mendapatkan sokongan negara anggota PBB terhadap mekanisme itu.
Semakin banyak negara mula menyokong pelan tersebut, katanya.
Namun, AS dan Iran, selain negara Teluk yang merupakan pengeluar utama baja, masih belum memberikan sokongan penuh.
Walaupun harapan utama ialah tercapainya perdamaian berkekalan di rantau itu dan kebebasan pelayaran untuk semua komoditi melalui selat tersebut, Silva berkata, masalahnya ialah musim penanaman tidak boleh menunggu dengan sebahagiannya akan berakhir di negara-negara Afrika dalam tempoh beberapa minggu lagi. – AFP










