RIYADH: Perang di Asia Barat telah mencetuskan kejutan tenaga terbesar dunia dan pemulihan pasaran dijangka berlanjutan sehingga 2027 walaupun sekatan di Selat Hormuz ditamatkan dalam masa terdekat, kata ketua pegawai eksekutif gergasi minyak Arab Saudi Saudi Aramco kepada pelabur pada Isnin.
Sehari sebelum itu, Aramco mengumumkan peningkatan keuntungan bersih lebih 25 peratus bagi suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong kenaikan harga minyak ketika eksport masih terganggu di Selat Hormuz.
“Kejutan bekalan tenaga yang bermula pada suku pertama adalah yang terbesar pernah dialami dunia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser.
“Jika Selat Hormuz dibuka hari ini (semalam), pasaran masih memerlukan beberapa bulan untuk kembali seimbang dan jika pembukaannya tertangguh beberapa minggu lagi, proses pemulihan akan berlanjutan hingga 2027,” tambahnya.
Harga minyak mentah melonjak pada suku pertama daripada sekitar AS$60 (RM235) setong pada awal Februari kepada lebih AS$100 (RM392) setong pada Mac selepas penutupan laluan utama itu oleh Iran mencetuskan krisis tenaga global.
Beliau berkata, pasaran kini menyaksikan kehilangan bekalan sekitar satu bilion tong minyak yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan anggaran sebenar sekitar 880 juta tong.
“Jika gangguan semasa berterusan pada kadar ini, pasaran akan kehilangan sekitar 100 juta tong minyak bagi setiap minggu Selat Hormuz kekal ditutup,” katanya lagi.
Menurut beliau, sebahagian kehilangan itu diimbangi oleh aliran minyak yang memintas Selat Hormuz, pelepasan rizab petroleum strategik kerajaan dan penggunaan saluran paip Timur-Barat Arab Saudi yang mengelakkan laluan selat yang disekat itu.
Arab Saudi menggunakan saluran paip tersebut pada kapasiti maksimum tujuh juta tong sehari bagi memastikan penghantaran minyak dapat diteruskan walaupun sekatan masih berlaku. – AFP










