PRAIA: Dua kru kapal yang mengalami penyakit serius di atas sebuah kapal persiaran yang terjejas oleh wabak disyaki hantavirus akan dipindahkan melalui Cape Verde ke Belanda, membolehkan kapal itu meneruskan pelayaran ke Kepulauan Canary milik Sepanyol, kata pengendali kapal pada Selasa.
Kementerian Kesihatan Sepanyol berkata, kapal itu dijangka tiba di Kepulauan Canary dalam tempoh tiga hingga empat hari tetapi tidak menyatakan pelabuhan yang tepat.
“Setibanya di sana, kru dan penumpang akan diperiksa, dirawat dan dipindahkan ke negara masing-masing,” kata kementerian itu.
Kementerian Kesihatan juga menyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menjelaskan Kepulauan Canary merupakan lokasi terdekat dengan keupayaan perubatan yang diperlukan.
Kapal MV Hondius mencetus kebimbangan kesihatan antarabangsa sejak Sabtu, apabila WHO dimaklumkan penyakit jarang berlaku itu, yang biasanya merebak melalui tikus dijangkiti melalui air kencing, najis dan air liur disyaki menjadi punca kematian tiga penumpangnya.
Apabila lebih ramai jatuh sakit, penumpang dan kru telah diasingkan selepas pihak berkuasa Cape Verde melarang kapal itu berlabuh.
Kapal tersebut kini berlabuh di luar ibu negara Praia.
Pengendali kapal dari Belanda, Oceanwide Expeditions, memaklumkan pada Selasa bahawa satu penyelesaian telah ditemui, dengan rancangan memindahkan dua kru yang sakit ke Belanda untuk rawatan perubatan segera, bersama seorang lagi individu yang pernah berhubung rapat dengan penumpang Jerman yang meninggal dunia pada Sabtu.
WHO turut memaklumkan rancangan pemindahan perubatan sedang dijalankan.
“Selepas pemindahan dilakukan, MV Hondius boleh meneruskan perjalanannya,” kata wakil WHO di Cape Verde, Ann Lindstrand kepada AFP.
Oceanwide Expeditions pula berkata, kapal itu akan belayar ke utara menuju Kepulauan Canary, sama ada Gran Canaria atau Tenerife yang mengambil masa kira-kira tiga hari pelayaran.
Pelayaran yang bermula dari Ushuaia di Argentina pada 1 April menuju Cape Verde itu membawa 88 penumpang dan 59 kru dari 23 negara, menurut WHO.
Salah seorang yang meninggal dunia, seorang wanita dari Belanda, telah meninggalkan kapal di pulau Saint Helena di Atlantik dan terbang ke Johannesburg, di mana beliau meninggal dunia pada 26 April.
Menurt WHO, dua kes hantavirus disahkan termasuk pada salah satu mangsa yang meninggal dunia dan seorang penumpang warga Britain yang kini berada dalam rawatan rapi di Johannesburg, dengan lima lagi kes disyaki.
Tiga daripada tujuh kes tersebut telah meninggal dunia; seorang di Johannesburg berada dalam keadaan kritikal, manakala tiga lagi di atas kapal menunjukkan gejala lebih ringan, termasuk seorang yang kini tiada simptom.
WHO masih menyiasat bagaimana virus itu muncul di atas kapal, dengan mangsa pertama mula menunjukkan simptom pada 6 April.
Penularan manusia ke manusia hanya pernah dilaporkan dalam satu jenis hantavirus tertentu iaitu virus Andes, yang beredar di Amerika Selatan.
Pengarah Kesiapsiagaan Wabak WHO, Maria Van Kerkhove, berkata, spesies virus masih belum disahkan, tetapi maklumat awal menunjukkan tiada tikus di atas kapal.
Penyelidik di Afrika Selatan sedang menjalankan penjujukan data dan WHO berpendapat kemungkinan besar ia adalah virus Andes.
“Besar kemungkinan terdapat penularan manusia ke manusia melalui kontak rapat,” katanya.
Dua kematian awal melibatkan pasangan dari Belanda, seorang lelaki yang meninggal pada 11 April dan isterinya yang jatuh sakit selepas turun di Saint Helena.
Wanita itu mengalami simptom gastrousus dan merosot ketika penerbangan ke Johannesburg pada 25 April, sebelum meninggal dunia sehari kemudian.
Usaha kini dijalankan untuk mengesan penumpang dalam penerbangan tersebut, yang menurut syarikat Airlink membawa 82 penumpang dan enam kru.
Pihak berkuasa Afrika Selatan telah meminta syarikat penerbangan itu menghubungi penumpang supaya mereka segera berhubung dengan pihak kesihatan.
Van Kerkhove berkata, tempoh inkubasi biasa hantavirus adalah antara satu hingga enam minggu, menyebabkan WHO percaya pasangan Belanda itu telah dijangkiti sebelum menaiki kapal tersebut.-AFP










