Penduduk bantah pejabat baharu konsulat AS di Greenland

Penduduk bantah pejabat baharu konsulat AS di Greenland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUUK: Lebih 500 penduduk Greenland mengadakan demonstrasi membantah hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menguasai pulau besar Artik itu, selepas perasmian pejabat baharu konsulat AS di Nuuk.

Kumpulan penunjuk perasaan melaungkan slogan serta memegang poster bertulis ‘Pergi dari sini USA’ dan ‘Kami bukan untuk dijual’, sambil ramai mengibarkan bendera merah-putih Greenland, menurut seorang wartawan AFP di lokasi di ibu negara wilayah itu pada malam Khamis.

Trump berulang kali berhujah Washington perlu menguasai Greenland atas alasan keselamatan negara, mendakwa wilayah autonomi Denmark itu berisiko jatuh ke tangan China atau Russia.

Para penunjuk perasaan kemudian membelakangi bangunan konsulat tersebut dan berdiam selama dua minit sebagai tanda protes terhadap AS.

Premis baharu itu yang terletak di pusat bandar Nuuk, dirasmikan lebih awal dengan kehadiran Duta besar AS ke Denmark, Kenneth Howery.

Menurut media KNR, Howery berkata, Trump kini menolak penggunaan kekerasan untuk menguasai Greenland dan menegaskan rakyatnya sendiri akan menentukan masa depan mereka.

Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen tidak hadir dalam majlis perasmian tersebut.

Pada awal minggu ini, Nielsen mengadakan pertemuan dengan Utusan Khas Trump untuk Greenland, Jeff Landry yang melakukan lawatan pertamanya ke pulau itu sejak dilantik pada Disember.

Landry berkata kepada AFP pada Rabu, AS perlu memperkukuh kehadirannya di wilayah itu.

“Sudah tiba masanya AS kembali meletakkan jejaknya di Greenland. Greenland memerlukan AS,” katanya ketika menamatkan lawatan empat hari itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN