NEW YORK: Salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di New York mengalami gangguan jadual penerbangan yang serius selepas sebuah lubang benam berskala besar ditemukan di landasan ketika pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Lembaga Pelabuhan yang mengawal selia premis berkenaan dalam satu kenyataan kepada Daily Mail mengesahkan bahawa Lapangan Terbang LaGuardia yang mengendalikan lebih 90,000 penumpang sehari kini berdepan kelewatan ekoran penemuan lubang benam berhampiran Landasan 4/22.
“Landasan tersebut telah ditutup serta-merta. Kru pembinaan dan kejuruteraan kecemasan kini berada di lokasi untuk mengenal pasti punca kejadian selain menyelesaikan kerja-kerja pembaikan perlu dengan cepat,” jelas kenyataan itu.
Rakaman video dari helikopter saluran CBS New York memaparkan sekumpulan besar pekerja memakai ves keselamatan sedang berkumpul di kawasan lubang benam berkenaan.
Pada petang Rabu, jentera berat dilihat sedang membersihkan runtuhan di dalam lubang tersebut sebelum sisa batu kerikil dipindahkan ke dalam sebuah lori.
Pihak Lembaga Pelabuhan turut memberi amaran kepada penumpang di lapangan terbang tersebut mengenai risiko kelewatan dan pembatalan jadual penerbangan sepanjang kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
“Para penumpang amat digalakkan untuk menyemak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat status penerbangan terkini,” tambah agensi itu.
Menurut data daripada platform FlightAware pada petang Rabu, LaGuardia telah membatalkan sebanyak 94 penerbangan keluar dari lapangan terbang berkenaan. – AGENSI










