Kerbau albino digelar 'Donald Trump' jadi tumpuan sebelum dikorbankan - Utusan Malaysia

Kerbau albino digelar ‘Donald Trump’ jadi tumpuan sebelum dikorbankan

KERBAU ‘Donald Trump’ dijaga seorang pengembala di Narayanganj, 17 Mei lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Kehadiran seekor kerbau albino yang memiliki bulu lebat berwarna perang keemasan mencetuskan fenomena luar biasa di Bangladesh, apabila orang ramai berpusu-pusu untuk bergambar dengan haiwan unik itu yang digelar ‘Donald Trump’.

Haiwan yang menjadi bintang di media sosial tersebut bagaimanapun dijadualkan untuk dikorbankan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pemiliknya, Zia Uddin Mridha, 38, berkata, adiknya menamakan kerbau seberat 700 kilogram itu sempena nama Presiden Amerika Syarikat (AS) kerana gumpalan bulu di kepalanya yang menyerupai gaya rambut ikonik pemimpin berkenaan.

“Adik lelaki saya memilih nama ini disebabkan keunikan bulu pada kerbau tersebut,” katanya kepada AFP ketika ditemui di ladangnya di Narayanganj, pinggir ibu negara, Dhaka.

Menurut pegawai daripada jabatan penternakan tempatan, kerbau albino adalah spesies yang sangat jarang ditemui. Ia kelihatan berwarna putih atau merah jambu disebabkan oleh kekurangan penghasilan melanin.

Mridha menambah bahawa kesesakan pelawat telah menyebabkan kerbau tersebut mengalami tekanan dan mengalami penurunan berat badan, sehingga memaksa pihaknya mengehadkan tempoh lawatan orang ramai. Namun, kanak-kanak tempatan tetap mengintai dari celah pagar untuk melihat haiwan berkenaan.

Seorang ahli perniagaan, Faisal Ahmed, 30, antara pengunjung bertuah yang sempat mendekati dan merakam gambar bersama kerbau terbabit.

“Memang benar, ada ciri-ciri persamaan antara kerbau ini dengan Presiden Donald Trump,” kata Ahmed kepada AFP selepas hadir bersama lima rakan dan saudaranya. 

Beliau menambah, anak saudaranya sanggup menaiki bot selama sejam semata-mata untuk melihat ‘Donald Trump’. Meskipun ia kini menjadi bintang di platform dalam talian, ia bukan satu-satunya haiwan yang diberikan nama gelaran unik di ladang tersebut. 

Beberapa ekor kerbau lain turut dinamakan mengikut karakter masing-masing, termasuk seekor kerbau agresif yang dinamakan ‘Tufan’, seekor kerbau bersaiz besar dipanggil ‘Fat Boy’ dan seekor lagi yang jinak dinamakan ‘Sweet Boy’. 

Malah, terdapat juga seekor lembu berbulu keemasan yang dinamakan sempena bintang bola sepak Brazil, Neymar, disebabkan gaya rambutnya yang lurus dan berwarna perang pudar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN