Kapal tangki minyak dirampas lanun Somalia di Yemen - Utusan Malaysia

Kapal tangki minyak dirampas lanun Somalia di Yemen

ANCAMAN lanun kembali memuncak di luar pantai Yemen. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOGADISHU: Sekumpulan penyerang yang tidak dikenal pasti merampas sebuah kapal tangki minyak pada Sabtu di luar pesisir Yemen di Teluk Aden dan mengarahkannya menuju ke Somalia, menurut pengawal pantai negara Arab itu.

Menurut pengawal pantau itu, kapal tangki MT Eureka dirampas di luar wilayah Shabwa oleh sekumpulan individu yang menaiki kapal, mengambil alih kawalan, kemudian mengarahkannya ke arah pantai Somalia, Afrika.

Pengawal pantai itu yang bernaung di bawah kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa, berikrar untuk menyiasat serangan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut tiga pegawai keselamatan berasingan dari wilayah separa autonomi Puntland, kumpulan lanun terbabit dipercayai bertolak dari kawasan pantai terpencil berhampiran bandar Qandala yang terletak di pinggir Teluk Aden.

Insiden ini merupakan rampasan kapal tangki kedua dalam tempoh sepuluh hari selepas kapal Honor 25 yang membawa 18,500 tong minyak ke Mogadishu dirampas oleh lanun Somalia pada 22 April lalu.

Kapal MT Eureka yang belayar di bawah bendera negara Togo itu dilaporkan ditawan oleh kumpulan bersenjata pada pukul 5 pagi waktu tempatan. Kapal berkenaan kini dikesan berada di antara Yemen dan Somalia dan dijangka berlabuh di perairan Somalia dalam tempoh beberapa jam lagi.

Dalam pada itu, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan satu lagi kejadian berasingan pada Jumaat lalu membabitkan sekumpulan individu bersenjata yang menaiki bot kecil menghampiri sebuah kapal kargo pukal berhampiran Al-Mukala, Yemen.

Kumpulan tersebut dilaporkan berasal dari kawasan pesisir pantai berhampiran bandar nelayan Caluula, kira-kira 209 kilometer (km) dari lokasi kumpulan perampas MT Eureka berlepas. Rentetan dua insiden berasingan ini menunjukkan kegiatan lanun kini semakin meluas di sepanjang 3,333km garis pantai Somalia.

Rampasan itu juga menandakan kejayaan keempat kumpulan lanun menawan kapal dalam tempoh dua minggu, namun pihak berkuasa Somalia dan Pasukan Tentera Laut Kesatuan Eropah (EUNAVFOR) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian terbaharu itu.

Kegiatan lanun di Somalia yang sebelum ini mencatatkan penurunan sejak 2011, kini kembali melonjak sejak akhir 2023. Situasi itu didorong oleh tindakan pemberontak Houthi yang menyerang kapal-kapal di Teluk Aden dan Laut Merah.

Ia memaksa tentera laut antarabangsa menumpukan perhatian kepada ancaman Houthi dan memberi ruang kepada kumpulan bersenjata di pantai Somalia mengambil kesempatan atas kelonggaran kawalan keselamatan tersebut.

Seorang pegawai keselamatan dari wilayah Puntland memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa krisis lanun yang sedang berlaku ketika ini adalah jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan memandangkan terdapat peningkatan pergerakan kumpulan bersenjata di seluruh kawasan pantai negara itu. – AFP/BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini