TEHERAN/WASHINGTON: Dua peluru berpandu yang dilancarkan oleh Tentera Laut Iran telah mengenai sebuah frigat Tentera Laut Amerika Syarikat, menurut agensi berita Fars yang bersekutu dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) pada petang Isnin, memetik sumber tempatan.
Kapal itu dilaporkan berpatah balik selepas terkena serangan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa peluru berpandu tersebut dilancarkan selepas AS melanggar protokol keselamatan bagi transit dan pelayaran berhampiran Pulau Jask dengan niat untuk melalui Selat Hormuz.
Tentera Iran mendakwa ia telah menghalang sebuah kapal pemusnah Tentera Laut AS daripada memasuki Selat Hormuz.
Dalam satu mesej di Telegram, Bahagian Perhubungan Awam Tentera Darat Iran berkata: “Berkat amaran tegas dan pantas daripada Tentera Laut, kemasukan kapal pemusnah musuh Amerika-Zionis ke Selat Hormuz telah berjaya dihalang.”
Dalam kenyataan berasingan, media kerajaan Iran mendakwa dua peluru berpandu telah mengenai sebuah kapal frigat Tentera Laut AS ketika ia belayar melalui Selat Hormuz.
Sebelum ini. tentera Iran pada Isnin memberi amaran bahawa ia akan menyerang mana-mana tentera AS yang cuba memasuki atau menghampiri Selat Hormuz.
Teheran mengeluarkan ancaman langsung paling keras setakat ini terhadap aset tentera laut Amerika hanya beberapa jam selepas Washington mengumumkan ia akan mula mengiringi kapal-kapal yang terkandas keluar dari laluan perairan itu menerusi operasi ‘Project Freedom’ atau Projek Kebebasan.
“Kami memberi amaran bahawa mana-mana angkatan tentera asing, khususnya tentera agresif AS, jika mereka berniat menghampiri dan memasuki Selat Hormuz, mereka akan diserang,” menurut Markas Pusat Khatam al-Anbiya, seperti dipetik oleh agensi berita Sepah News dan Tasnim News Agency.
Markas itu berkata, ia akan menggunakan kekuatan penuh mengekalkan dan mengurus keselamatan Selat Hormuz selain mengarahkan semua kapal komersial serta kapal tangki minyak supaya tidak melalui selat tersebut tanpa penyelarasan dengan angkatan bersenjata Iran yang ditempatkan di kawasan tersebut.
Ia turut memberi amaran bahawa sebarang laluan tanpa kebenaran akan membahayakan keselamatan kapal terbabit.
LANUN
Markas itu mendakwa tentera AS telah menggunakan pendekatan lanun maritim di perairan bebas dan antarabangsa dunia sehingga telah membahayakan keselamatan perdagangan global dan ekonomi dunia.
Ia turut memberi amaran kepada sekutu Amerika supaya berhati-hati dengan berkata: “Penyokong Amerika yang jahat harus berwaspada dan tidak melakukan apa-apa tindakan serta membawa kepada penyesalan yang tidak boleh dipulihkan, kerana tindakan agresif AS untuk mengganggu keadaan semasa hanya akan menyebabkan situasi menjadi lebih rumit selian membahayakan keselamatan kapal di kawasan ini.”
Seorang pegawai kanan tentera Iran, Jeneral Ali Abdollahi berkata, Iran berulang kali menyatakan bahawa keselamatan Selat Hormuz berada di bawah kuasa angkatan bersenjata Republik Islam itu dan bahawa dalam apa jua keadaan, sebarang laluan selamat hanya berlaku dengan penyelarasan angkatan bersenjata.
BUNTU
Rundingan antara kedua-dua negara menemui jalan buntu sejak gencatan senjata dalam perang AS-Israel terhadap Iran berkuat kuasa pada 8 April selepas Iran diserang pada 28 Februari sehingga menyebabkan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh.
Sehingga kini, Teheran mengawal selat itu dengan ketat dan menjadi titik utama pertikaian antara Iran dengan AS.
Trump berkata pada Ahad bahawa operasi maritim baharu itu merupakan langkah kemanusiaan untuk kru-kru kapal yang terperangkap akibat sekatan dan mungkin kehabisan makanan serta bekalan lain.
“Kami akan menggunakan segala usaha terbaik untuk membawa kapal dan kru mereka keluar dengan selamat dari selat itu. Dalam semua kes, mereka menyatakan tidak akan kembali sehingga kawasan itu selamat untuk pelayaran,” tulis Trump di Truth Social miliknya.
Trump juga berkata, operasi akan bermula pada Isnin.
TUTUP
Penutupan Selat Hormuz itu menyebabkan Teheran telah menjejaskan aliran utama minyak, gas dan baja manakala AS mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
Trump dalam hantaran itu berkata bahawa beliau sedar sepenuhnya bahawa wakil-wakilnya sedang mengadakan perbincangan sangat positif dengan negara Iran. Beliau berkata, perbincangan itu boleh membawa kepada sesuatu yang sangat positif untuk semua pihak.
Namun, beliau tidak menyebut secara langsung mengenai pelan 14 perkara yang dikatakan Teheran dikemukakan minggu lalu untuk menamatkan perang.
Dalam pada itu, Markas Pusat AS berkata, pihaknya akan menggunakan kapal pemusnah peluru berpandu berpandu, lebih 100 pesawat darat dan laut, pesawat tanpa pemandu serta 15,000 anggota tentera dalam operasi di Hormuz.
Sehingga 29 April, lebih 900 kapal komersial berada di Teluk, menurut firma risikan maritim AXSMarin.
RUNDINGAN
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, berkata bahawa AS perlu mengurangkan tuntutannya terhadap republik Islam itu, ketika rundingan terhenti berhubung usaha menamatkan perang di Asia Barat yang telah berlarutan selama dua bulan.
“Pada tahap ini, keutamaan kami adalah untuk menamatkan perang,” katanya dalam taklimat yang disiarkan oleh televisyen kerajaan.
“Pihak satu lagi mesti komited kepada pendekatan yang munasabah dan meninggalkan tuntutan berlebihan terhadap Iran,” tambahnya.
Rundingan antara kedua-dua negara terhenti sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April, dengan hanya satu pusingan rundingan damai secara langsung diadakan setakat ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Iran, Ibrahim Azizi, pada Isnin telah mengisytiharkan bahawa sebarang campur tangan AS di selat itu akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.
Bagaimanapun, kenyataan daripada Markas Khatam al-Anbiya itu menunjukkan peningkatan ketegangan lanjut berbanding amaran politik tersebut dan merupakan satu ancaman ketenteraan secara langsung. – AGENSI/AFP











