TOKYO: Honda mencatat kerugian tahunan pertama dalam tempoh 70 tahun selepas pelaburannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) gagal memberikan pulangan seperti dijangka.
Permintaan terhadap EV didapati tidak sekuat ramalan syarikat itu, dengan Honda melaporkan kerugian operasi keseluruhan sebanyak 423 bilion yen (RM10.58 bilion) bagi tahun kewangan berakhir Mac 2026.
Syarikat itu memaklumkan akan membatalkan sebahagian sasaran pengeluaran EV serta mendapatkan komponen dari China, yang menawarkan harga lebih rendah, bagi mengurangkan kos operasi.
Honda turut menyatakan perubahan dasar di Amerika Syarikat (AS) menyumbang kepada kerugian tersebut, termasuk pemansuhan insentif cukai untuk pengguna EV dan pelaksanaan tarif import.
Sebelum ini, pengguna di AS boleh menerima kredit cukai sehingga AS$7,500 (RM29,617) jika membeli EV baharu, namun insentif itu dimansuhkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada September 2025.
Tarif ke atas kereta import dan alat ganti automotif yang diperkenalkan pada 2025 turut menjejaskan keuntungan beberapa pengeluar automotif utama, walaupun kadar tarif dikurangkan daripada 25 peratus kepada 15 peratus.
Honda, yang mula disenaraikan di pasaran saham pada 1957, berkembang menjadi syarikat automotif kedua terbesar di Jepun.
Penganalisis berkata, saiz syarikat yang besar serta struktur legasinya menyukarkan Honda menyesuaikan diri dengan cepat terhadap turun naik permintaan EV.
Honda kini mahu memberi tumpuan kepada perniagaan motosikalnya yang lebih berjaya, perkhidmatan kewangan serta pengeluaran kenderaan hibrid.
Syarikat itu menyatakan AS, Jepun dan India akan menjadi pasaran keutamaan bagi pertumbuhan masa depan, walaupun rancangan pembinaan kilang EV dan bateri di Kanada digantung.
Ketua pegawai eksekutif Honda, Toshihiro Mibe berkata, syarikat itu juga membatalkan sasaran supaya EV membentuk satu perlima daripada jualan kereta baharu menjelang 2030.
Beliau turut mengumumkan Honda tidak lagi menyasarkan semua kenderaannya menjadi EV sepenuhnya menjelang 2040.
Honda menjangkakan kerugian berkaitan EV sebanyak 512 bilion yen (RM12.7 bilion) lagi bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027.-AGENSI










