COPENHAGEN: Pihak berkuasa alam sekitar Denmark memulakan operasi untuk memindahkan bangkai seekor ikan paus bonggol dari sebuah pantai di pulau Anholt ke tanah besar Denmark melalui laluan laut.
Bangkai Ikan paus itu ditemui terdampar di pantai pulau berkenaan pada hujung minggu lalu, kira-kira dua minggu selepas satu misi persendirian di Jerman gagal menyelamatkan haiwan berkenaan yang sebelum ini terperangkap di pesisir Laut Baltik.
Agensi perlindungan alam sekitar Denmark berkata, bangkai itu berada berhampiran pantai dan menyebabkan gangguan besar, justeru ia perlu dipindahkan ke pelabuhan Grenaa, kira-kira 57 kilometer ke barat daya pulau tersebut.
Penduduk pulau sebelum ini diarahkan supaya menjauhi bangkai berkenaan kerana risiko jangkitan.
Seorang penduduk Anholt berkata, sebelum operasi dimulakan, bangkai itu berada kira-kira 20 hingga 30 meter dari pantai dan semakin bergerak menghampiri kawasan pantai.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, saiz bangkai itu dilaporkan meningkat akibat pengumpulan gas hasil proses pereputan, sekali gus menimbulkan kebimbangan ia boleh meletup.
“Itu memang sifat semula jadi. Saya tahu ada yang risau, tetapi saya tidak,” kata penduduk itu kepada BBC.
Pada awal Khamis, pasukan tindak balas kecemasan tiba di perairan Anholt untuk memulakan operasi menarik bangkai itu ke laut dalam sebelum dipindahkan menggunakan kapal lebih besar ke Grenaa.
Namun operasi tersebut tidak berjaya selepas beberapa percubaan, apabila bangkai itu kini terdampar di beting pasir agak jauh dari pantai.
“Operasi itu telah dihentikan sementara ketika pasukan kecemasan mencari alternatif lain untuk memindahkan bangkai tersebut,” kata Pegawai Agensi Alam Sekitar, Jane Hansen.
Agensi itu masih merancang untuk membawa bangkai itu ke pelabuhan Grenaa bagi tujuan bedah siasat serta pengambilan sampel saintifik.
Namun percubaan seterusnya dijangka tidak akan dilakukan sebelum tamat cuti umum panjang di Denmark.
Bagaimana ikan paus itu boleh berada di pulau berhampiran pantai timur Jutland di Selat Kattegat masih menjadi misteri.
Kapal yang membawa mamalia itu dari Jerman sebelum ini telah melepaskannya di laut kira-kira 70 kilometer dari hujung utara Denmark.
Kisah tersebut menarik perhatian ramai di Jerman sejak awal Mac, malah pelancong turut datang ke pulau Anholt untuk mengikuti perkembangan ikan paus itu yang digelar Timmy atau Hope oleh media.
Dua usahawan swasta sebelum ini berharap dapat menyelamatkan ikan paus itu, namun pakar Jerman memberi amaran haiwan tersebut sudah berada dalam keadaan sangat lemah dan berisiko lemas.
Seawal awal April, pihak berkuasa juga menyatakan bahawa mereka telah berputus asa untuk menyelamatkan haiwan itu.
Ikan paus tersebut terperangkap di Teluk Lübeck selepas dipercayai tersangkut dalam jaring.
Selepas percubaan awal untuk menyelamatkannya di lokasi itu gagal, ia kemudian berenang lebih jauh ke timur sepanjang pesisir Laut Baltik dan berakhir di luar Pulau Poel sebelum dipindahkan ke atas sebuah tongkang pada akhir April dan dibawa ke arah Laut Utara.
Pada awalnya terdapat keraguan sama ada ikan paus yang ditemui di Anholt itu adalah haiwan yang sama yang telah dilepaskan ke laut, namun pihak berkuasa memaklumkan mereka menemui penjejak GPS pada ikan paus tersebut yang dipasang semasa usaha menyelamat sebelum ini.










