CANBERRA: Kerajaan Australia mengumumkan tindakan undang-undang berskala besar bernilai AUD$2 bilion (RM5.6 bilion) terhadap syarikat gergasi barangan pengguna Amerika Syarikat (AS), 3M.
Ia berhubung isu pencemaran sisa toksik di puluhan pangkalan tentera negara itu.
Kes saman ini difailkan ekoran penggunaan buih pemadam api yang mengandungi bahan kimia berbahaya yang sukar dilupuskan atau dikenali sebagai ‘forever chemicals’.
Timbalan Menteri Pertahanan, Peter Khalil memaklumkan bahawa tindakan mahkamah itu diambil bagi menuntut ganti rugi penuh.
Beliau berkata, tujuannya adalah bagi menampung kos pengurusan sisa pencemaran alam sekitar di 28 pangkalan tentera,
Kesemuanya dikesan tercemar dengan bahan poly-fluoroalkyl (PFAS). Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai tindakan undang-undang paling signifikan dan terbesar yang pernah diambil oleh kerajaan Australia dalam sejarah.
Setakat ini, pihak angkatan tentera dilaporkan telah pun memindah keluar sebanyak 200,000 tan sisa PFAS daripada lapisan tanah di kawasan terbabit.
Ia adalah bagi mengurangkan risiko kesihatan terhadap komuniti setempat.
Pihak Peguam Negara, Michelle Rowland turut menegaskan bahawa kerajaan bersedia sepenuhnya untuk mengheret salah sebuah syarikat korporat multinasional terbesar dunia itu ke muka pengadilan. – AFP










